
ANTONIO Conte dilaporkan menetapkan dua syarat utama untuk mengambil alih tugas sebagai pengendali Manchester United menerusi perbincangan tidak rasmi, menurut laporan media Itali.
Pengurus dari Itali itu menuntut kuasa penuh dalam urusan perpindahan pemain dan pengaruh besar dalam pembentukan skuad, termasuk membawa barisan kejurulatihannya sendiri.
Tuntutan itu didedahkan oleh La Repubblica selepas United dimalukan dengan kekalahan 1-4 kepada kelab Serie A, Como, semalam.
Michael Carrick kini berdepan tekanan hebat selepas The Red Devils gagal mencatat kemenangan dalam tujuh perlawanan berturut-turut dan menghuni tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris (EPL), ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu, Manchester City.
Kekalahan di Como itu mendorong pengurusan United mencari jalan keluar daripada kemelut yang melanda, sekali gus mendekati Conte yang pernah mengendalikan Chelsea dan Tottenham Hotspur dalam saingan EPL.
Bagaimanapun, syarat pertama Conte berpotensi menjadi penghalang berikutan pengaruh Pengarah Teknikal, Jason Wilcox, dalam strategi pengambilan pemain bersama Christopher Vivell dan Omar Berrada.
Jika Conte dilantik, beberapa anggota pasukan kejurulatihan Carrick termasuk Steve Holland, Jonathan Woodgate dan Jonny Evans dijangka meninggalkan Old Trafford.
Selain Conte, bekas pengurus Bayern Munich, Julian Nagelsmann turut dikaitkan dengan jawatan pengendali United.





