
KOTA KINABALU – Seramai 20 graduan Program Certificate in Precision Micro-Soldering & Electronics Technopreneurship menerima tawaran pekerjaan di Johor sejurus menamatkan latihan kemahiran sekali gus membuktikan kerjasama industri mampu membuka laluan kerjaya kepada anak-anak Sabah.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kesemua graduan itu akan berkhidmat dengan GN Resound Malaysia.
“Tawaran pekerjaan itu merupakan hasil kerjasama strategik antara GN Resound Malaysia dan Gain Forlife yang bukan sahaja menyediakan latihan kemahiran, malah terus menghubungkan peserta dengan peluang pekerjaan.
“Kerjasama kedua-dua syarikat itu setakat ini telah melahirkan hampir 400 graduan menerusi 27 kumpulan latihan yang kemudiannya menerima tawaran pekerjaan di Johor.
“Inisiatif seperti ini membuktikan bahawa kerjasama strategik dengan pihak industri mampu menyediakan laluan kerjaya yang lebih jelas kepada anak-anak Sabah, khususnya mereka yang memerlukan peluang meningkatkan taraf hidup,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, pada Jumaat.
Katanya, MINDET Sabah akan terus menyokong usaha memperluaskan program latihan Gain Forlife supaya lebih ramai anak tempatan memperoleh kemahiran dan pekerjaan.
“Bermula tahun hadapan kementerian itu akan bekerjasama dengan Gain Forlife bagi memperkenalkan elemen keusahawanan dalam program latihan tersebut.
“Saya turut merakamkan penghargaan kepada GN Resound Malaysia yang diwakili Dr Sebastian Tin serta Gain Forlife yang diwakili Pengarah Urusannya, Nelson Mosinoh atas komitmen menjayakan program berkenaan,” ujarnya.
Menurut Ewon, langkah itu bertujuan memastikan graduan bukan sahaja menguasai kemahiran teknikal yang diperlukan industri, malah memiliki pengetahuan asas keusahawanan yang boleh menjadi asas membina perniagaan sendiri pada masa depan.
“Pendekatan itu selaras dengan Wawasan Sabah First yang diperkenalkan melalui MINDET untuk melahirkan lebih ramai rakyat Sabah yang mempunyai pendapatan stabil dan mampu berdikari dari segi ekonomi.
“Matlamat kita adalah memastikan lebih ramai rakyat Sabah mempunyai sumber pendapatan yang stabil, sama ada melalui perniagaan sendiri atau bekerja dengan syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan,” jelasnya.
Tambahnya, usaha memperluaskan peluang ekonomi rakyat menjadi antara keutamaannya sejak menerajui MINDET pada Disember tahun lalu, terutama dalam menangani isu kemiskinan dan pengangguran di Sabah.
“Justeru, usaha menarik pelaburan, membangunkan sektor perindustrian dan memperluaskan aktiviti keusahawanan perlu terus diperkukuhkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.
“Para graduan diharap agar sentiasa mengutamakan hubungan kekeluargaan walaupun bekerja jauh dari kampung halaman dan tawaran pekerjaan yang diterima menjadi titik permulaan kepada kerjaya yang lebih baik,” jelasnya.



