
GERIK – Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar, mengalami kecederaan ringan selepas kenderaan Toyota Vellfire yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 45 Jalan Raya Timur-Barat, berhampiran Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun, Tasik Banding, di sini, awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, seramai 10 mangsa terlibat, dengan lima daripadanya cedera manakala lima lagi dilaporkan selamat.
Keadaan Ustaz Wadi Annuar yang kini menerima rawatan di Hospital Gerik dilaporkan stabil. Beliau difahamkan mengalami kecederaan ringan di bahagian dada dan perut.
Ketika kejadian, beliau bersama pasukannya dalam perjalanan dari Gerik menuju ke Jeli, Kelantan, menaiki Toyota Vellfire yang turut dinaiki tiga individu lain.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, berdasarkan maklumat awal, dua daripada empat individu yang menaiki Toyota Vellfire itu mengalami kecederaan, manakala dua lagi selamat.
“Kesemua mangsa dari kenderaan itu telah dikeluarkan orang awam sebelum jentera bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Selain Toyota Vellfire, dua lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu ialah Perodua Myvi dan Perodua Bezza.
Menurut Sabarodzi, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.40 pagi sebelum menggerakkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik ke lokasi.
Operasi menyelamat turut dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) serta sebuah lori.
Beliau berkata, operasi dilaporkan terkawal pada jam 4.10 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.39 pagi.



