
‘MANNERS maketh man’ (adab membentuk keperibadian), demikian peringatan tajam Mahkamah Tinggi Melaka kepada Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, susulan kenyataan berunsur fitnah terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, dalam pertikaian mengenai cadangan pensijilan halal.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Isa Aziz Ibrahim, dalam alasan penghakiman penuh kes itu yang disiarkan pada Jumaat menegaskan, tingkah laku seseorang wakil rakyat bukan sekadar mencerminkan peribadi, malah turut menggambarkan masyarakat yang memberikan mandat kepada pemimpin.
Penghakiman itu menyusuli keputusan mahkamah yang memihak kepada Teresa dalam saman fitnah terhadap Akmal berhubung kenyataan di media sosial pada September 2024, ketika kedua-dua pihak terbabit dalam pertikaian mengenai cadangan kerajaan mewajibkan pensijilan halal bagi perniagaan tertentu.
Kontroversi bermula pada 6 September 2024 apabila Teresa membangkitkan kebimbangan mengenai kesan cadangan berkenaan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya dari segi kos pematuhan yang kemudiannya menjelaskan penggunaan perkataan “memalukan” dalam kenyataannya berpunca daripada kesilapan terjemahan daripada bahasa Mandarin ke bahasa Melayu.
Bagaimanapun, pada keesokan harinya, Akmal menerbitkan video di TikTok, Facebook dan Instagram yang mengandungi beberapa kenyataan dipertikaikan, termasuk memanggil Teresa “nyonya tua”, menyuruhnya “kamu diam lebih elok” serta mendakwa beliau “tak habis-habis mengganggu gugat keharmonian negara” selain mengandungi cadangan supaya logo bukan halal ditampal pada dahi Ahli Parlimen Seputeh itu.
Mahkamah berpandangan kenyataan berkenaan bukan lagi sekadar kritikan terhadap dasar kerajaan, sebaliknya menjurus kepada serangan peribadi yang boleh menjejaskan reputasi ahli Parlimen itu.
Dalam alasan penghakiman, mahkamah mendapati dakwaan bahawa Teresa berulang kali mengganggu keharmonian negara tidak mempunyai asas fakta yang mencukupi selain, hakim turut menjelaskan laporan polis yang dibuat berhubung kontroversi itu tidak membuktikan kebenaran dakwaan berkenaan.
Mahkamah juga menolak pembelaan komen adil yang dikemukakan Akmal kerana kenyataan dipertikaikan tidak disokong fakta yang membolehkan dakwaan itu dianggap sebagai ulasan adil terhadap perkara berkepentingan awam, selain pertikaian mengenai dasar pensijilan halal, menurut pertimbangan mahkamah, tidak memberikan alasan untuk mengeluarkan tuduhan peribadi yang tidak dibuktikan.
Pembelaan keistimewaan bersyarat turut ditolak, dengan mahkamah mengambil kira penyebaran video secara meluas kepada lebih 1.7 juta pengikut di media sosial serta penggunaan kata-kata menghina yang tidak diperlukan dalam perbahasan dasar awam.
Mahkamah turut mengambil kira pengakuan Akmal bahawa beliau marah terhadap Teresa ketika menerbitkan video berkenaan, selain tindakannya mengekalkan kandungan itu dalam talian sehingga perbicaraan di samping ketiadaan permohonan maaf atau penarikan balik kenyataan selepas notis tuntutan dikeluarkan juga menjadi antara perkara yang dipertimbangkan.
Dalam menentukan pampasan, mahkamah menolak hujah bahawa kenyataan awal Teresa mencetuskan kontroversi sehingga wajar mengehadkan ganti rugi kepada jumlah nominal. Hakim mengambil kira reputasi Teresa sebagai Ahli Parlimen selama 25 tahun, keluasan penyebaran kenyataan serta kesan tuduhan serius terhadap dirinya.
Terdahulu, mahkamah membuat keputusan yang memihak kepada Kok, serta memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu membayar ganti rugi dan kos perundangan sebanyak RM300,000, selain diarahkan memadamkan video berkenaan daripada semua akaun media sosial dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh perintah.
Selain itu, injunksi kekal turut dikeluarkan bagi melarang Akmal menerbitkan semula kenyataan berunsur fitnah berkenaan atau apa-apa perkataan yang membawa maksud serupa, sekali gus menamatkan pertikaian undang-undang yang berlarutan selama kira-kira dua tahun antara kedua-dua pemimpin politik itu.






