SHAH ALAM – Larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze bagi semua urusan rasmi penjawat awam perlu dilaksanakan segera demi melindungi keselamatan negara serta mengelakkan pendedahan data sulit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas semakan terperinci bersama pihak keselamatan siber dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terhadap terma perkhidmatan aplikasi berkenaan yang didakwa tertakluk kepada undang-undang Israel.
Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelakkan maklumat sulit, data peribadi dan maklumat strategik negara terdedah secara automatik kepada pihak berkenaan.
“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan negara. Walaupun saya menerima kritikan dan kecaman kerana dianggap bertindak terburu-buru, itu tidak mengapa, namun bagi saya keselamatan negara harus sentiasa menjadi keutamaan.
“Tambahan pula, Malaysia merupakan antara negara yang lantang menentang tindakan rejim Zionis Israel. Tidak mustahil tindakan kita dipantau. Saya percaya selepas ini pelbagai pihak akan mengkritik dan memberi tekanan kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim di sini, hari ini.

Anwar turut berharap rakyat tidak terburu-buru mengkritik keputusan berkenaan, sebaliknya memberikan ruang kepada kerajaan untuk memastikan aspek keselamatan negara terus terpelihara.
Beliau mengakui aplikasi navigasi tempatan, TuJu, masih mempunyai kelemahan dan menyeru orang ramai supaya bersabar sementara penambahbaikan dilaksanakan.
“Saya berharap rakyat kita sendiri tidak bertindak mengkritik keputusan tersebut. Walaupun saya mengakui bahawa aplikasi TuJu mempunyai kelemahan tersendiri, saya menyeru agar rakyat bersabar dan mencari alternatif sesuai,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai TuJu sebagai alternatif, Anwar berkata, penambahbaikan sistem aplikasi itu sedang giat dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
“Walaupun tidak canggih, tak apalah kita baiki. Lebih baik selamat daripada serahkan maklumat kerahsiaan negeri, peribadi saudara, dan negara kepada Israel. Itu yang penting untuk difahami.
“Apa lagi kita ini di antara negara yang keras menentang rejim Zionis Israel yang kejam itu. Jadi, tentunya tindakan kita itu dipantau,” katanya.




