
KUCHING – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 akan dibubarkan berkuat kuasa Isnin, 26 Oktober 2026, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembubaran berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar selepas beliau menghadap bagi memohon pembubaran DUN.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selaras dengan peruntukan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak setelah mengambil kira tempoh penggal DUN semasa yang semakin menghampiri penghujungnya.
Beliau berkata, rakyat Sarawak perlu diberikan peluang untuk melaksanakan hak demokrasi mereka dalam menentukan mandat baharu bagi meneruskan agenda pembangunan negeri.
Abang Johari berkata demikian ketika sidang media khas di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, pada Jumaat.
Menurutnya, DUN Sarawak Ke-19 memulakan persidangan pertama pada 14 Februari 2022 selepas PRN Ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021.
Beliau berkata, sepanjang tempoh mandat berkenaan, kerajaan Sarawak memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi, penambahbaikan infrastruktur, perkhidmatan awam serta mempertahankan hak dan kepentingan negeri.
Dalam pada itu, Abang Johari menjelaskan bahawa Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak menetapkan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Sehubungan itu, urusan penetapan tarikh penamaan calon dan pengundian akan dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengikut proses undang-undang yang ditetapkan.
Beliau turut memberikan jaminan bahawa urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kerajaan akan diteruskan dalam tempoh peralihan mengikut peruntukan serta amalan pentadbiran yang berkuat kuasa.
Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Sarawak atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan sepanjang penggal pentadbiran berkenaan.
Pada masa sama, beliau menyeru semua parti politik, calon dan penyokong supaya menghormati undang-undang serta menjaga tingkah laku sepanjang proses pilihan raya.
“Marilah kita bersama-sama memelihara keamanan, perpaduan dan keharmonian Sarawak,” katanya.
Beliau berharap proses demokrasi itu dapat berlangsung dalam suasana aman dan teratur bagi membolehkan rakyat membuat pilihan secara bebas serta penuh keyakinan demi masa depan Sarawak.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak

