
SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak wajar mempersoalkan prosiding Lembaga Pengampunan berhubung penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi.
Beliau berkata, prosiding serta pertimbangan Lembaga Pengampunan adalah bersifat sulit dan orang awam tidak mempunyai hak untuk mengetahui secara terperinci perbincangan atau pertimbangan yang dibuat dalam sesuatu permohonan pengampunan.
“Prosiding Lembaga Pengampunan, setakat yang saya faham, adalah keputusan budi bicara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.
“Kalau ada mesyuarat, ia perlu dibuat bersama Lembaga Pengampunan. Tetapi keputusan bagaimana mereka membuat keputusan, kita tidak boleh tahu semua itu kerana ia sulit,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Isnin.
Beliau mengulas kenyataan Takiyuddin hari ini yang menuntut kerajaan memberikan penjelasan kepada umum berhubung penangguhan permohonan pengampunan Najib.

Takiyuddin berkata, Pas berpandangan penangguhan permohonan berkenaan tidak berlaku dengan sendirinya, sebaliknya mungkin ada arahan atau bantahan daripada mana-mana pihak termasuk ahli Lembaga Pengampunan atau pihak ketiga yang berkepentingan.
Beliau turut menyifatkan perkara itu sebagai isu berkepentingan awam yang tidak sepatutnya dihalang daripada pengetahuan rakyat.
Mengulas perkara itu, Tajuddin berkata, kerajaan bukan pihak yang sepatutnya memberikan penjelasan mengenai perincian pertimbangan Lembaga Pengampunan kerana perkara itu tertakluk kepada proses yang sulit.
“Kenapa perlu dipersoalkan? Itu bukan kerja kerajaan. Itu diperuntukkan dalam Perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat juga tidak boleh mengharapkan minit atau keseluruhan perbincangan Lembaga Pengampunan didedahkan kepada umum.
Dalam pada itu, Tajuddin berkata, terdapat dua pandangan dalam kalangan pengamal undang-undang berhubung kuasa Yang di-Pertuan Agong selepas mendengar pandangan Lembaga Pengampunan.
“Ada dua pandangan dalam kalangan peguam. Satu mengatakan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh bertindak di luar mesyuarat, manakala satu lagi berpandangan Baginda boleh mendengar pandangan Lembaga Pengampunan dan kemudian membuat keputusan.
“Bagi saya, Yang di-Pertuan Agong mendengar pandangan Lembaga Pengampunan dan kemudian mempunyai budi bicara untuk memutuskan sama ada mahu menerima cadangan itu atau sebaliknya,” katanya.
Justeru, beliau berpandangan orang awam tidak mempunyai hak untuk mengetahui keseluruhan proses pertimbangan atau sebab sesuatu keputusan dibuat oleh Lembaga Pengampunan.
“Tidak ada siapa di Malaysia yang berhak mendapatkan jawapan daripada Agong dan Lembaga Pengampunan mengenai prosiding itu kerana ia adalah pendengaran yang sulit,” katanya.
Permohonan pengampunan Najib sebelum ini ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung pada 11 September lalu.



