Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan mahkamah pada 10 November itu membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah pengampunan bersyarat.
Menurutnya, perintah baharu itu menetapkan Najib perlu menjalani baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan rumah di kediamannya di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, KDN sentiasa menghormati dan menjunjung tinggi keputusan pengampunan diraja yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan kuasa di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Setiap keputusan yang dibuat melalui saluran perlembagaan hendaklah dihormati dan dilaksanakan menurut undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas kelewatan pelaksanaan tahanan rumah sebelum ini, Saifuddin berkata, ia berlaku susulan persoalan undang-undang berkaitan tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat dan kesan perundangan perintah pelepasan bertarikh 6 November lalu.
Katanya, persoalan itu khususnya membabitkan pelaksanaan baki hukuman menerusi tahanan rumah dan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini telah memberikan penjelasan mengenainya.
Sehubungan itu, beliau berkata, KDN menghormati pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa perkara berkenaan perlu diperjelaskan menerusi proses kehakiman.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap tindakan kerajaan mempunyai asas perundangan yang jelas, teratur dan sah,” katanya.
Saifuddin turut menegaskan bahawa tanggungjawab KDN dan Jabatan Penjara adalah memastikan setiap keputusan berkaitan pelaksanaan hukuman dan tahanan dilaksanakan berdasarkan undang-undang serta arahan mahkamah yang sah.
Beliau berkata, kes berkenaan merupakan kes berprofil tinggi yang mempunyai implikasi politik dan persepsi awam yang besar.
Justeru, semua pihak diminta mengendalikan perkara itu secara matang dan bertanggungjawab tanpa membiarkan polemik politik menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan kerajaan akan terus mempertahankan kedudukan dan peranan institusi Raja-Raja Melayu dalam kerangka Raja Berperlembagaan.
Katanya, prinsip keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman perlu terus dijunjung kerana semuanya merupakan asas kestabilan negara.


