
KUALA LUMPUR – Konvoi kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini kira-kira pukul 9.27 malam ini.
Najib dipercayai menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna kelabu yang membawanya pulang ke kediaman berkenaan bagi menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.
Terdahulu, konvoi berkenaan dilaporkan bergerak keluar dari Penjara Kajang kira-kira pukul 9.05 malam sebelum tiba di kediaman bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat memperketat kawalan keselamatan di persimpangan menuju ke kediaman berkenaan.
Beberapa penyokong Najib turut dilihat berada di lokasi bagi menyambut kepulangan beliau.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin mengeluarkan perintah pelepasan baharu yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International Sdn. Bhd. menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Perintah itu turut membatalkan sepenuhnya perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.

