Gambar hiasan
KUANTAN – Kediaman Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid, musnah dalam kebakaran membabitkan dua rumah teres dua tingkat di Taman Seri Kuantan, di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah (Bahagian Operasi dan Penyelamat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.26 malam.
Seramai 36 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan dibantu BBP Indera Mahkota dan BBP Gebeng digerakkan ke lokasi untuk operasi pemadaman.
“Kebakaran dua rumah itu tidak membabitkan mangsa. Setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim, menzahirkan simpati dan meminta Mustaffar Kamal bersabar serta tabah menghadapi ujian berkenaan.


