
PADANG BESAR – Parti Wawasan Negara (Wawasan) mula membuka tapak politik di Perlis apabila sekumpulan pimpinan akar umbi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Padang Besar mengumumkan keluar parti sebelum menyertai parti pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainuddin itu.
Langkah berkenaan membabitkan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar, sebahagian besar Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian serta 14 daripada 24 ketua cawangan di kawasan berkenaan.
Bekas Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar, Ramzi Md Udi berkata, keputusan itu dibuat selepas mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti di peringkat pusat.
Menurutnya, beberapa lagi cawangan Bersatu di Bahagian Padang Besar dijangka mengambil langkah sama dalam masa terdekat.
“Kami mencapai kata sepakat untuk meletakkan jawatan dan keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
“Selepas menilai hala tuju politik semasa, kami memilih untuk bersama Wawasan demi masa depan politik yang lebih jelas dan kepentingan masyarakat,” katanya pada sidang media di Kubang Perun, di sini semalam.
Antara pimpinan yang turut meninggalkan Bersatu ialah Naib Ketua Bahagian, Ramli Aripin; Pemangku Ketua Srikandi Bahagian, Fazuwin Razak dan Ketua Srikandi Muda Bahagian, Nurul Hafiza Ramli.
Dua AJK bahagian, Zulkefli Hassan dan Nazri Khamis turut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing.
Ramzi berkata, kumpulan berkenaan sepakat menyertai Wawasan yang kini diterajui Hamzah selepas mengambil kira perkembangan politik semasa.
“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada kepimpinan Bersatu dan berterima kasih kerana parti itu banyak memberi pengalaman kepada kami sepanjang bersama,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau mendakwa pelantikan Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar, Izizam Ibrahim sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Perlis juga berpotensi menambah keretakan hubungan parti itu dengan Pas di negeri ini.
Katanya, mereka tidak mempunyai masalah peribadi dengan Izizam, namun berpendapat pelantikan tersebut dibuat terlalu lewat selepas namanya pernah dicadangkan sebelum ini.
“Izizam antara pengasas Bersatu di Perlis dan hubungan kami selama ini dibina atas semangat ukhuwah dalam Perikatan Nasional bersama Pas.
“Namun perkembangan politik yang berlaku sekarang menyebabkan kami memilih haluan berbeza,” katanya.
Tindakan beramai-ramai itu sekali gus memberi Wawasan ruang membina rangkaian akar umbi awal di Perlis, khususnya di Padang Besar yang sebelum ini menjadi antara kawasan penting Bersatu di negeri ini.

