KUANTAN – Dua lelaki maut, manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Johor Bahru, Rompin malam tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu mengakibatkan pemandu, R Vijay, 27, meninggal dunia di Hospital Rompin.
Seorang penumpang belakang, P Vijayan, 17, pula disahkan maut di tempat kejadian. Seorang lagi penumpang hadapan, M Tanush Kumar, 16, cedera dan sedang dirawat.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Rompin ke Kuantan. Setibanya di lokasi, kereta dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di bahu jalan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa dijadualkan jam 9 pagi ini di Hospital Rompin.





