KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim akan menghadapi prosiding reman berasingan sebelum menghadapi pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen 2, pada Rabu.
Peguamnya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat berkata, Azeez, 60, ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman petang semalam sebelum dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.
“Polis akan memohon perintah reman di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di lobi kompleks mahkamah, pada Rabu.
Terdahulu, Abdul Azeez akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, Abdul Azeez yang juga bekas Ahli Parlimen Baling akan dituduh di hadapan Hakim Azura Alwi jam 9 pagi.
Pada 27 Ogos lalu, bekas Ahli Parlimen Baling itu telah direman tujuh hari hingga 2 September bagi membantu siasatan susulan pendedahan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu.
Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik melalui portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada 29 Julai lepas antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti kaedah keputusan pelaburan lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.
Skop siasatan RCI meliputi penelitian terhadap isu berkaitan TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020 dengan merujuk penemuan firma PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger, tidak termasuk pelan penstrukturan serta pemulihan yang sedang dijalankan ketika itu.






