PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Jemaah Menteri akan bersetuju untuk mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji kepada umum.
Beliau berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu ini mengikut proses yang ditetapkan sebelum langkah selanjutnya diputuskan.
“Sekarang riuh soal RCI atau Suruhanjaya Diraja Tabung Haji. Orang cabar mengapa tidak zahirkan kepada awam. Saya tak ada keberatan dan saya setuju, namun kita perlu mengikut proses.
“Biar saya bawa kepada Jemaah Menteri hari Rabu ini dan saya percaya Jemaah Menteri akan setuju… Malah kita tangguh laporan itu dulu kerana Tabung Haji menyatakan dia perlu masa untuk perbaiki, ada pengurusan baharu untuk baiki.
“Kemudian sekarang kita bersedia untuk dihebahkan kepada awam. Kalau awal sangat dulu takut orang tidak ada keyakinan kepada Tabung Haji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Majlis Kemuncak National Training Week (NTW) 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di sini, hari ini.
Anwar berkata, Tabung Haji kini berada dalam keadaan berbeza selepas melalui proses penambahbaikan di bawah pengurusan baharu.
Menurutnya, institusi itu turut menerima pengiktirafan sebagai antara pengurusan haji terbaik di peringkat antarabangsa.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan bersedia mendedahkan laporan RCI Tabung Haji bagi menjawab dakwaan berkaitan penjualan aset strategik agensi itu pada 2018.
Ini susulan langkah pemulihan dan penstrukturan semula yang dibuat ketika itu melibatkan pemindahan aset TH yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik penuh kerajaan, Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan itu menyatakan terdapat pelanggaran terhadap pelbagai peraturan dan wujud penyalahgunaan kuasa yang serius dalam agensi itu.
End.





