
PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkembangan lanjut mengenai kemungkinan Malaysia kembali menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) akan diumumkan pada Ahad ini.
“Saya akan umumkan perkembangannya (F1) pada Ahad ini,” katanya seperti dipetik media tempatan.
Beliau berkata demikian setelah merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin dan melancarkan Program Nuqaba di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan sedang meneliti kemungkinan membawa semula perlumbaan F1 ke Litar Antarabangsa Sepang susulan cadangan menjadikan Malaysia sebagai pengganti Grand Prix (GP) Bahrain.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, Perdana Menteri dan KBS telah menerima makluman awal berhubung cadangan tersebut, namun penelitian menyeluruh masih dijalankan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Menurut beliau, kerajaan komited menyokong pembangunan sukan permotoran negara, namun sebarang pengumuman rasmi hanya akan dibuat selepas semua aspek berkaitan selesai dinilai.
Media sebelum ini melaporkan Litar Antarabangsa Sepang berada dalam senarai lokasi yang berpotensi menggantikan GP Bahrain bagi musim Formula Satu 2026 susulan ketidaktentuan penganjuran perlumbaan di Asia Barat.
Sekiranya dipilih, perlumbaan di Sepang dijangka mengisi slot antara GP Azerbaijan di Baku pada 26 September dan GP Singapura pada 11 Oktober.
GP Bahrain dan GP Arab Saudi yang dijadual berlangsung pada April lalu sebelum ini ditangguhkan susulan konflik di rantau Asia Barat, manakala usaha menjadualkan semula perlumbaan di Sakhir terus berdepan cabaran ekoran situasi keselamatan yang masih tidak menentu.
Malaysia kali terakhir menganjurkan perlumbaan Formula Satu di Litar Antarabangsa Sepang pada 2017 sebelum penganjurannya dihentikan berikutan kos penganjuran yang tinggi serta pulangan komersial yang semakin berkurangan.






