KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain pada Isnin, disokong anggaran awal menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang lebih pantas daripada jangkaan pada suku kedua 2026.
Menurut Laporan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Kedua 2026 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekonomi negara berkembang 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 5.4 peratus pada suku sebelumnya.
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.0920/0995 berbanding dolar AS daripada 4.0930/0990 ketika ditutup pada Jumaat lalu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, walaupun data ekonomi domestik lebih kukuh, pasaran mata wang dijangka terus memberi perhatian kepada perkembangan di Asia Barat susulan peningkatan korban dalam kalangan anggota tentera AS membabitkan konflik antara AS dan Iran.
Beliau berkata, Indeks Dolar AS (DXY) kekal disokong dengan indeks itu berada pada paras 100.846 mata, meningkat 0.08 peratus berbanding sesi penutupan sebelumnya.
“Dalam persekitaran sedemikian, ringgit dijangka diniagakan pada paras yang lebih lemah. Pada Jumaat, ringgit ditutup susut 0.57 peratus berbanding dolar AS kepada RM4.0960.
“Oleh itu, mata wang tempatan dijangka diniagakan dalam julat RM4.0900 hingga RM4.1165 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Pada awal dagangan, ringgit turut mengukuh berbanding mata wang utama lain.
Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5017/5118 daripada 5.5018/5099 ketika ditutup pada Jumaat lalu, naik berbanding euro kepada 4.6759/6845 daripada 4.6824/6893 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5177/5225 daripada 2.5208/5246.
Mata wang tempatan juga diniagakan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang serantau.
Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1664/1727 daripada 3.1709/1758, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 228.3/228.8 daripada 228.4/228.8 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.1504/1781 daripada 12.1743/1965.
Bagaimanapun, ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada paras 6.64/6.66.








