Sabah harap baki RM900 juta Pemberian Khas disalurkan, kekalkan formula 40 peratus

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya baki RM900 juta daripada bayaran interim Pemberian Khas tahun 2026 disalurkan dalam tahun ini, selepas menerima pembayaran awal sebanyak RM600 juta pada 12 Jun lalu.

Pembantu Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Mohd Ishak Ayub berkata, permohonan itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peningkatan bayaran interim Pemberian Khas Sabah kepada RM1.5 bilion semasa Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah pada 30 Mei lalu.

“Susulan pengumuman tersebut, beberapa siri surat-menyurat telah diadakan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah bertarikh 9 Jun, 19 Jun dan 26 Jun 2026 bagi membincangkan pelaksanaan pembayaran berkenaan.

“Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Kerajaan Sabah telah menerima bayaran interim Pemberian Khas bagi tahun 2026 berjumlah RM600 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada 12 Jun 2026.

“Sehubungan itu, Kerajaan Sabah telah memohon agar baki sebanyak RM900 juta disalurkan kepada Kerajaan Sabah dalam tahun ini juga,” katanya ketika menjawab secara serentak soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Senallang dan Sekong pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini pada Isnin.

Menurut Mohd Ishak, kerajaan negeri menegaskan bahawa persetujuan terhadap kadar baharu bayaran interim sebanyak RM1.5 bilion bukanlah persetujuan terhadap amaun muktamad Pemberian Khas yang berhak diterima Sabah.

“Persetujuan itu hanyalah satu penyelesaian sementara (interim arrangement) dan dibuat tanpa prejudis terhadap hak-hak Perlembagaan Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Persetujuan ini tidak boleh ditafsirkan sebagai persetujuan terhadap amaun muktamad Pemberian Khas dan tidak menjejaskan keperluan untuk meneruskan rundingan bagi pelaksanaan formula 40 peratus dalam menentukan amaun sebenar yang sewajarnya diterima Sabah,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri kekal berpendirian bahawa formula 40 peratus seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan perlu dilaksanakan sepenuhnya.

“Sekiranya rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah gagal mencapai persetujuan mengenai amaun muktamad Pemberian Khas, kerajaan negeri berpandangan mekanisme pelantikan penaksir bebas perlu dilaksanakan.

“Langkah itu selaras dengan peruntukan Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan yang menyediakan mekanisme penyelesaian sekiranya tiada persetujuan dicapai melalui rundingan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Ishak menegaskan, Kerajaan Sabah akan terus mempertahankan hak-hak kewangan negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk memastikan pelaksanaan formula 40 peratus bagi menentukan kadar Pemberian Khas yang adil dan selaras dengan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Related Posts

‎‘Lumangad Oku Dika’ juara CLAS16

KOTA KINABALU – Lagu Lumangad Oku Dika karya Ryenald Guntabid dinobatkan juara Anugerah Carta Lagu Artis Sabah Musim Ke-16 (CLAS16), sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000.‎‎Pada pertandingan yang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hadiah RM16,500, gelaran Raja Sungai jadi rebutan 26 pasukan di Regatta Krian

SARATOK – Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM16,500 dan gelaran Raja Sungai menjadi taruhan 26 pasukan yang bakal berentap dalam Regatta Krian sempena Pesta Saratok 2026, dari 2 hingga 4…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‎‘Lumangad Oku Dika’ juara CLAS16

‎‘Lumangad Oku Dika’ juara CLAS16

Hadiah RM16,500, gelaran Raja Sungai jadi rebutan 26 pasukan di Regatta Krian

Hadiah RM16,500, gelaran Raja Sungai jadi rebutan 26 pasukan di Regatta Krian

CLAS16 platform angkat bakat muzik Sabah ke peringkat lebih tinggi

CLAS16 platform angkat bakat muzik Sabah ke peringkat lebih tinggi

Kerajaan MADANI terus utamakan pembangunan Sabah

Kerajaan MADANI terus utamakan pembangunan Sabah

PH hanya jawab persoalan Kerajaan BN bukan campuri krisis institusi diraja, adat

PH hanya jawab persoalan Kerajaan BN bukan campuri krisis institusi diraja, adat

‘Riuh laung Melayu Islam tapi ketepikan akhlak,  idealisme perjuangan’ – PMX

‘Riuh laung Melayu Islam tapi ketepikan akhlak,  idealisme perjuangan’ – PMX