TENANG – Bekas calon Pakatan Harapan (PH) bagi NDewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Elia Nadira Sabudin menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan hati yang terbuka sambil menyatakan rasa hormat terhadap pilihan rakyat serta proses demokrasi yang telah berlangsung.
Dalam kenyataannya, Elia Nadira merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pengundi DUN Tenang yang telah memberikan kepercayaan, sokongan dan doa sepanjang tempoh berkempen.
Beliau turut mengambil kesempatan memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan, kesilapan atau keterlanjuran kata serta perbuatan sepanjang mendekati masyarakat di kawasan tersebut.
“Saya menerima keputusan Pilihan Raya Negeri ini dengan hati yang terbuka serta penuh rasa hormat terhadap pilihan rakyat dan proses demokrasi yang telah berlangsung.

“Terima kasih kepada seluruh pengundi N.05 Tenang yang telah memberikan kepercayaan, sokongan dan doa sepanjang perjalanan kempen ini,” katanya.
Elia Nadira turut menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada seluruh jentera Pakatan Harapan N.05 Tenang, para sukarelawan serta penyokong yang bertungkus-lumus menjayakan kempen dengan penuh dedikasi, disiplin dan semangat kebersamaan.
Menurut beliau, setiap pengorbanan yang dicurahkan oleh jentera dan penyokong sepanjang kempen akan sentiasa dikenang dan dihargai.
Walaupun tidak berjaya memperoleh kemenangan, Elia Nadira menegaskan bahawa komitmennya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat DUN Tenang tidak akan terhenti.
Beliau berkata, selagi diberikan ruang dan kemampuan, beliau akan terus menyumbang tenaga serta memperjuangkan kebajikan rakyat tanpa mengira kedudukan.
“Insya-Allah, walau apa jua keputusannya, komitmen saya untuk terus berbakti kepada masyarakat DUN Tenang tidak akan terhenti. Selagi diberi ruang dan kemampuan, saya akan terus menyumbang serta bersama-sama memperjuangkan kebajikan rakyat,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Elia Nadira mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga DUN Tenang serta mendoakan agar ukhuwah yang terjalin sepanjang perjuangan itu akan terus kekal dan sentiasa diberkati Allah SWT.






