
KUCHING – Golongan warga emas digalakkan terus mempelajari kemahiran digital bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi, selain kekal aktif menimba ilmu dan berhubung dengan masyarakat.
Pengerusi Kelab Digital Warga Emas DiWarMas Kuching, Sajali Mohamad berkata, peningkatan usia bukan penghalang kepada seseorang untuk terus belajar, berkarya dan memanfaatkan teknologi dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, penggunaan teknologi digital mampu membuka lebih banyak peluang kepada warga emas untuk mengakses ilmu pengetahuan serta mengekalkan hubungan dengan keluarga dan masyarakat.
“Di Kelab Digital Warga Emas DiWarMas, Kuching, kami percaya bahawa usia bukan penghalang untuk terus belajar, berkarya dan melangkah maju.
“Dunia digital bukan hanya milik generasi muda, tetapi jambatan yang menghubungkan warga emas dengan ilmu, keluarga dan dunia tanpa sempadan,” katanya menerusi teks ucapan sempena Hari Warga Emas 2026 pada Rabu.
Sajali berkata, warga emas perlu terus dihargai atas sumbangan, pengalaman dan kebijaksanaan yang telah dicurahkan sepanjang kehidupan mereka.
Menurutnya, masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam mewujudkan persekitaran yang menghormati golongan berkenaan serta memberikan ruang kepada mereka untuk terus menyumbang.

Dalam pada itu, penceramah Ustaz Ahmad Nizam Johari yang menyampaikan tazkirah kepada komuniti warga emas di Pustaka Negeri Sarawak turut menekankan kepentingan memanfaatkan usia dengan aktiviti berfaedah serta memperkukuh penghayatan agama.
“Peluang menikmati usia yang panjang wajar digunakan untuk meningkatkan ilmu, memperbaiki akhlak dan mendekatkan diri kepada Allah SWT,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan pembelajaran berterusan termasuk ilmu fardu ain, fardu kifayah dan al-Quran sebagai sebahagian daripada usaha membentuk kehidupan yang lebih bermakna.
Mengulas penggunaan kecerdasan buatan (AI), Ahmad Nizam berpandangan teknologi itu boleh dimanfaatkan sebagai medium menyampaikan dakwah dan maklumat yang membawa kepada kebaikan.
“Penggunaan teknologi secara positif membolehkan perkongsian ilmu dan nilai murni diperluas menerusi platform dalam talian,” katanya lagi.
Sementara itu, Sajali berharap sambutan Hari Warga Emas dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menghargai golongan berkenaan, selain menggalakkan mereka meneruskan pembelajaran sepanjang hayat.
Beliau turut berharap warga emas sentiasa dikurniakan kesihatan, ketenangan dan kesejahteraan untuk terus menjalani kehidupan yang aktif serta bermakna.



