Wan Rosdy Wan Ismail
LIPIS – Kerajaan Pahang tidak mahu rumah PR1MA Pahang menjadi lubuk pelabur hartanah.
Justeru, moratorium 10 tahun dikenakan bagi pastikan rumah mampu milik itu kekal untuk mereka yang betul-betul memerlukan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu untuk menghalang sesetengah pembeli yang cuba jual semula dalam tempoh singkat semata-mata untuk kaut untung atas angin.
“Matlamat kerajaan adalah untuk bantu mereka yang tiada rumah. Walaupun syarat kita longgarkan, ada yang sudah ada rumah tetapi mahu beli rumah kedua.
“Kita ambil kira pelbagai keadaan, termasuk mereka yang ramai anak atau ada lebih daripada seorang isteri.
“Bila kita dapati ada yang jual rumah itu, kita kenakan moratorium 10 tahun. Selepas itu baru boleh jual,” katanya seperti dilapor Pahang Media.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Kuala Lanar (Fasa 3) di Dewan Bankuet Kuala Lipis, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Wan Rosdy mengumumkan kerajaan negeri turut menawarkan diskaun 10 peratus kepada penjawat awam, menjadikan harga rumah berkenaan hanya RM135,000.
Untuk rekod, projek PR1MA Pahang Kuala Lanar bernilai RM115 juta itu merangkumi tiga fasa dengan keseluruhan 426 unit rumah, di mana 132 unit rumah berkembar satu tingkat bagi Fasa 3 telah siap sepenuhnya pada 10 Julai lalu.



