
LIMBANG – Pembinaan bangunan baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Limbang dijangka meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan, selain menyediakan kemudahan lebih selesa dan mudah diakses masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pembangunan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh infrastruktur perkhidmatan awam, khususnya di kawasan luar bandar dan sempadan.
Menurutnya, kedudukan geografi Limbang yang bersempadan dengan Brunei Darussalam menjadikan penyediaan kemudahan kerajaan yang lengkap dan berkualiti amat penting bagi memenuhi keperluan penduduk.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya amat memahami keperluan dan harapan masyarakat Limbang untuk menikmati kemudahan perkhidmatan awam yang lebih baik, selesa dan mudah diakses.
“Seiring perkembangan kawasan Limbang serta peningkatan keperluan perkhidmatan, kemudahan sedia ada JPJ perlu dipertingkatkan bagi menampung keperluan operasi dan urusan harian yang semakin berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Baharu JPJ Cawangan Limbang, pada Rabu.
Hasbi berkata, pembinaan bangunan berkenaan bukan sahaja bakal memberikan manfaat kepada masyarakat, malah menyediakan persekitaran kerja lebih kondusif kepada warga JPJ dalam melaksanakan tanggungjawab dengan cekap dan berkesan.
Menurutnya, penambahbaikan kemudahan itu penting seiring perkembangan Limbang serta peningkatan keperluan penduduk terhadap perkhidmatan pengangkutan jalan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke atas kesudian hadir menyempurnakan majlis pecah tanah berkenaan.
“Kehadiran Menteri Pengangkutan pada hari ini mencerminkan perhatian yang diberikan terhadap usaha meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan Persekutuan di kawasan ini,” katanya.
Hasbi berharap projek tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar dan disiapkan mengikut tempoh ditetapkan supaya kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan masyarakat secepat mungkin.
“Besar harapan saya agar usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur dan kemudahan pengangkutan di Limbang akan terus mendapat perhatian serta sokongan kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan infrastruktur yang seimbang bagi memastikan penduduk di kawasan luar bandar dan sempadan tidak ketinggalan dalam menikmati kemudahan perkhidmatan awam yang berkualiti.



