
LIMBANG – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM28.7 juta bagi pembinaan bangunan baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Limbang dalam usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menyediakan kemudahan lebih selesa kepada masyarakat setempat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek berkenaan bukan sahaja bertujuan memperkukuh infrastruktur perkhidmatan awam, malah turut memberikan perhatian terhadap kebajikan dan kesejahteraan warga kerja JPJ Limbang.
Menurutnya, pembangunan itu merangkumi penyediaan tiga blok kuarters kediaman bagi memenuhi keperluan penempatan kakitangan jabatan berkenaan.
“Kerajaan telah meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM28.7 juta bagi pelaksanaan Projek Pembinaan Bangunan Baharu JPJ Cawangan Limbang ini.
“Perancangan projek ini bukan sahaja mengambil kira keperluan penyampaian perkhidmatan JPJ kepada rakyat, malah turut memberikan perhatian kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan warga kerja JPJ Limbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Baharu JPJ Cawangan Limbang, pada Rabu.
Loke berkata, kemudahan baharu berkenaan dijangka menyediakan persekitaran kerja lebih kondusif kepada kakitangan, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi serta keselesaan orang ramai yang berurusan di JPJ.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur kerajaan perlu mengambil kira keperluan pengguna dan petugas bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan dapat berfungsi dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak terlibat, khususnya agensi pelaksana, supaya memastikan projek berkenaan dilaksanakan mengikut spesifikasi, piawaian kualiti serta jadual yang ditetapkan.
Katanya, setiap peruntukan pembangunan yang diluluskan kerajaan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan kemudahan yang dibina memberikan pulangan jangka panjang kepada masyarakat.
“Kemudahan yang disediakan kelak hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya dan diselenggara dengan baik.
“Ini penting bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan dapat memberikan manfaat yang berterusan kepada rakyat dalam jangka panjang,” katanya.
Loke turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi, JPJ Malaysia dan Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak serta agensi kerajaan negeri atas kerjasama dalam merealisasikan projek berkenaan.
Beliau berkata, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak penting bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan berjalan lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan.
Pembinaan bangunan baharu itu diharap dapat memperkukuh kemudahan perkhidmatan pengangkutan jalan kepada penduduk Limbang dan kawasan sekitarnya, di samping meningkatkan kebajikan warga kerja JPJ.



