
KUALA TERENGGANU – Cadangan pelaksanaan dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) dilihat berpotensi meningkatkan produktiviti serta keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi penjawat awam.
Tinjauan wartawan The Malaysia Press (TMP) mendapati rata-rata penjawat awam menerima baik cadangan ini.
Bagi Fasihah Fauzi, pelaksanaan HBH mampu memberi manfaat dari aspek kecekapan kerja dan penjimatan kos perjalanan ke pejabat.
Menurut beliau, tugasan yang memerlukan tumpuan tinggi seperti penyediaan laporan, dokumen rasmi, surat-menyurat dan semakan kewangan lebih mudah diselesaikan dalam suasana kerja yang kurang gangguan.
“HBH juga memberi sedikit fleksibiliti kepada pegawai untuk mengurus urusan peribadi tanpa menjejaskan tanggungjawab, selagi prestasi dan penyampaian perkhidmatan kekal menjadi keutamaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian sebelum dasar itu dilaksanakan sepenuhnya, termasuk keperluan hadir ke pejabat bagi urusan yang melibatkan dokumen fizikal, tandatangan rasmi serta perkhidmatan kepada pelanggan dalaman.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan HBH bergantung kepada tahap disiplin, komunikasi yang berkesan serta pematuhan terhadap jadual yang ditetapkan oleh ketua jabatan mengikut keperluan operasi semasa.

Sementara itu, Aneeta Ahmad berpendapat, pelaksanaan HBH perlu disokong dengan garis panduan yang jelas agar pelaksanaannya berlangsung secara adil dan telus kepada semua warga perkhidmatan awam.
Menurut beliau, penetapan kriteria kelayakan berdasarkan jawatan dan skop tugas penting bagi mengelakkan kekeliruan serta persepsi layanan tidak sama rata antara pegawai.
Beliau turut mencadangkan agar ketua jabatan diberikan fleksibiliti untuk menyusun jadual HBH mengikut keperluan operasi dan beban kerja semasa, selain mewujudkan sistem pelaporan digital bagi memudahkan pemantauan tugasan yang dilaksanakan dari rumah.

Dalam pada itu, Shaik Fikri Shaik Ismail berpandangan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang mencukupi merupakan elemen penting bagi memastikan pelaksanaan HBH berjalan lancar.
Katanya, pegawai perlu mempunyai akses selamat kepada sistem jabatan, penggunaan VPN, komputer riba serta capaian internet yang stabil supaya produktiviti tidak terjejas.
Beliau turut menegaskan bahawa semua pegawai yang menjalankan HBH perlu sentiasa mudah dihubungi melalui telefon, e-mel atau aplikasi rasmi sepanjang waktu bekerja bagi memastikan penyelarasan tugasan berjalan dengan berkesan.

Ketiga-tiga mereka turut mencadangkan agar pelaksanaan HBH dinilai secara berkala melalui mekanisme pemantauan dan maklum balas daripada warga kerja serta pelanggan bagi memastikan dasar itu sentiasa relevan dan mampu meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan HBH dilihat berpotensi menjadi pendekatan kerja yang lebih moden, fleksibel dan berorientasikan prestasi, dengan syarat ia dilaksanakan secara terancang melalui garis panduan yang jelas, pemantauan berterusan serta mengutamakan keperluan operasi jabatan.




