
KANGAR – Peranan media bukan sekadar melaporkan kejadian jenayah malah menjadi medium penting membantu polis memberi kesedaran mengenai keselamatan kepada masyarakat.
Bekas Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kerjasama pengamal media di negeri ini banyak membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang beliau mengetuai kontinjen Perlis.
Menurutnya, laporan serta penerangan yang disampaikan media membantu masyarakat memahami pelbagai isu berkaitan jenayah dan keselamatan.
“Peranan tersebut turut memberi kesan positif dalam usaha pencegahan jenayah selain membantu meningkatkan imej pasukan polis dalam kalangan masyarakat.
“Saya turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media Perlis yang memberikan sokongan serta terlibat membuat liputan pelbagai program dan operasi sepanjang tempoh,” katanya.

Kerjasama itu katanya lagi, turut melibatkan liputan berkaitan isu keselamatan di kawasan sempadan termasuk Wang Kelian dan lokasi lain di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Muhammad berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini, semalam.
Dalam majlis itu, Senior Asisten Komisioner Zaihairul Idrus yang sebelum ini Timbalan Ketua Polis Perlis mengambil alih tugas sebagai Pemangku Ketua Polis Perlis.
Muhammad pula bertukar ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Gerakan/Operasi) dengan memangku pangkat Komisioner Polis.
Majlis berkenaan disaksikan Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Muhammad berharap kerjasama erat antara Polis Perlis dengan pengamal media dapat terus dikekalkan di bawah kepimpinan baharu kontinjen berkenaan.
Menurutnya, penyampaian maklumat melalui media kekal penting dalam membantu usaha polis mencegah jenayah, menjaga keselamatan serta meningkatkan kesedaran masyarakat.





