
AYER KEROH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah satu-satunya parti yang melihat tuntutan Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai agenda nasional.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu selaras dengan pendirian parti yang mahu memastikan Sabah dan Sarawak diberikan perhatian berdasarkan keperluan khusus kedua-dua wilayah tersebut.
“Inilah parti dan kerajaan yang tidak melihat tuntutan Sabah dan Sarawak sebagai isu untuk dua wilayah itu sahaja, sebaliknya sebagai agenda nasional.
“Masalah Sabah dan Sarawak tidak boleh dianggap sama seperti masalah negeri-negeri lain. Kedua-duanya mempunyai keperluan khas,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, dalam memenuhi tuntutan MA63, masih terdapat ruang untuk pelaksanaannya diperbaiki dan dipertingkatkan.
Beliau menegaskan, isu MA63 juga tidak seharusnya hanya dibicarakan di Sabah dan Sarawak, sebaliknya perlu menjadi perhatian bersama seluruh negara.
“Isu MA63 dan Sabah-Sarawak tidak boleh hanya dibicarakan di Sabah dan Sarawak. Semenanjung Malaysia mesti bergerak seiring dan berganding bahu dengan Sabah dan Sarawak.
“Adakah membantu Sabah dan Sarawak akan meningkatkan sokongan kita di Semenanjung? Tidak semestinya. Tetapi itulah pilihan kita, melakukan perkara yang betul.
“Perkara yang betul ialah keadilan untuk semua dan pembangunan untuk semua,” katanya.






