
SANDAKAN – Pengguna diesel di Sabah menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai penurunan harga diesel dan berharap langkah itu dapat membantu mengurangkan kos sara hidup serta memberi kesan kepada penurunan harga barangan.
Seorang pengguna, Noor Fauziah Basri, 57, berkata, beliau bersyukur dengan pengumuman penurunan harga minyak sebanyak lima sen di seluruh negara dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami banyak menggunakan diesel untuk bergerak ke bandar dan ke kebun. Memang penggunaan diesel sangat penting dalam kehidupan seharian kami.

“Terima kasih kepada kerajaan, terutama Perdana Menteri kerana membantu rakyat,” katanya ketika ditemui wartawan The Malaysia Press, di sini pada Isnin.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Faishal Azmi Madina, 55, turut melahirkan rasa gembira dan menghargai usaha kerajaan membantu rakyat Sabah.
“Saya sering memandu jauh dan berulang-alik menggunakan kenderaan yang memerlukan diesel.
“Pengurangan harga ini pastinya dapat mengurangkan kos perbelanjaan kami.

“Saya juga berharap harga barangan akan turut menurun kerana Sabah menerima pengurangan sebanyak lime sen seliter.
“Sudah tentu ia akan memberi kesan kepada harga barang di pasaran,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan bersetuju menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter mulai bulan depan.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata, penurunan harga itu akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel secara seragam di seluruh negara menggunakan mekanisme berasaskan Kad Pengenalan (MyKad) selaras dengan pendekatan yang telah dilaksanakan melalui inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).







