
KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun negara berdepan ketidaktentuan geopolitik global susulan konflik yang menjejaskan laluan perdagangan utama di Selat Hormuz.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, asas ekonomi negara masih kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026.
Menurut beliau, suasana terbabit turut disokong permintaan domestik mantap serta prestasi eksport sektor elektrik dan elektronik (E&E) kekal berdaya tahan.
“Walaupun lebih 20 peratus perdagangan minyak dunia melalui Selat Hormuz dan konflik berlarutan meningkatkan harga minyak mentah Brent kepada purata AS$93.49 setong, kesan terhadap ekonomi Malaysia masih dapat dikawal melalui langkah intervensi awal kerajaan.
“Malaysia sebagai ekonomi terbuka tidak terkecuali daripada tempias krisis ini, namun kerajaan sedang memantau dan mengurus keadaan secara berterusan. Ia bagi memastikan kestabilan ekonomi negara,” katanya ketika sesi jawapan menteri pada sidang Dewan Rakyat, pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (GPS) Betong, Datuk Dr Richard Rapu @ Aman anak Begri yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan penilaian impak ekonomi terkini akibat gangguan perdagangan di Selat Hormuz terhadap kos operasi industri tempatan.
Ahli Parlimen Betong itu juga bertanyakan tentang kadar inflasi negara bagi suku kedua 2026 dan strategi luar jangka dalam RMK13 untuk memastikan sasaran pertumbuhan KDNK kekal mampan sekiranya kemelesetan ekonomi global berlaku secara berpanjangan.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, kadar inflasi negara juga kekal terkawal pada 2.0 peratus pada Mei 2026 berbanding 1.9 peratus pada April lalu.
“Kerajaan akan terus mengambil pendekatan berwaspada dan berpandukan data bagi memastikan rakyat dilindungi, industri terus beroperasi dan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.








