
KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 2,560 unit pod vape yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Sekatan Jalan Raya Lalang Pepuyu, Tanah Merah, hari ini.
Rampasan dilakukan kira-kira jam 12.15 tengah hari selepas pasukan operasi menahan sebuah van yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA, Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan ke atas van tersebut menemukan beberapa kotak mengandungi pod vape.
Beliau berkata, pemandu van itu gagal mengemukakan dokumen berkaitan barangan yang dibawa sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 2,560 unit pod vape yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati suspek mengambil bekalan pod vape di sekitar Tanah Merah sebelum merancang menghantarnya ke Thailand melalui pangkalan haram di Kampung Rahmat, Rantau Panjang.
Beliau berkata, suspek bersama rampasan dan van yang digunakan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tanah Merah untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Foto: Berita Harian






