
KUANTAN – Seramai 30 peserta, termasuk lima daripada komuniti Orang Asli mengambil bahagian dalam program One Stop Help Centre (KAWAN) anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) di Kampung Som, dekat Jerantut, petang semalam.
Program inisiatif JKOM Parlimen Jerantut itu menawarkan bengkel pembuatan lilin aromaterapi selain pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.
Bertempat di pusat I-Kreatif Mukim Hulu Cheka, program itu dirasmikan Ahli Lembaga Penasihat Metro System Academy Universiti Tun Hussien Onn Malaysia, Mohd Hasnizam Md Daud.
Hadir sama Penghulu Mukim Cheka, Khairul Akhma Yusof dan Pengurus Operasi Negeri JKOM Pahang, Muhayudin Salleh.

Bengkel pembuatan lilin aromaterapi itu dikendalikan pengasas Melur Spa Beauty & Wellness, Zamilah Hamzah.
Zamilah berkata, menerusi bengkel itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik asas pembuatan lilin aromaterapi dan lilin penghalau nyamuk, termasuk pemilihan bahan, penggunaan minyak pati, kaedah mengendalikan campuran wangian serta proses menuang dan membentuk lilin.
“Bengkel ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran dan kreativiti peserta.
“Ia juga membuka peluang kepada peserta untuk menjadikan pembuatan lilin sebagai hobi, sumber pendapatan sampingan bahkan peluang perniagaan pada masa hadapan,” katanya.






