
UMNO dan Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai ‘api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut’ kepada Kerajaan MADANI susulan tindakan parti itu yang didakwa tidak konsisten dalam kerjasama politik di peringkat Persekutuan dan negeri.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, UMNO-BN dilihat beberapa kali memilih untuk bekerjasama dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri bagi menentang Pakatan Harapan (PH), sedangkan parti itu masih menikmati kuasa dan jawatan dalam Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, tindakan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai kejujuran, kesetiaan dan komitmen UMNO-BN terhadap persefahaman politik yang membentuk Kerajaan MADANI.
“Persoalannya, sampai bila UMNO-BN mahu bermain politik dua kolam? Di Putrajaya menjadi rakan kerajaan, tetapi di negeri bekerjasama dengan pihak yang mahu merobohkan Kerajaan MADANI.
“Ini bukan lagi sekadar perbezaan strategi pilihan raya, sebaliknya menimbulkan persoalan serius mengenai pendirian sebenar mereka terhadap kerjasama dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mahfuz turut mempersoalkan tindakan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang secara terbuka mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, walaupun perbezaan pandangan merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi, pemimpin yang memegang jawatan penting dalam kerajaan turut mempunyai tanggungjawab untuk memelihara kepercayaan dan kestabilan pentadbiran.
“Jangan sampai UMNO-BN menjadi penumpang yang menikmati perjalanan, tetapi pada masa sama menebuk lubang perahu yang membawanya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan UMNO-BN perlu membuat keputusan yang jelas mengenai hala tuju politik mereka, khususnya jika lebih selesa menjalinkan kerjasama dengan Pas dan PN dalam menghadapi PH.
Menurutnya, UMNO-BN perlu berani menerima implikasi daripada pendirian politik yang dipilih dan tidak terus menikmati kedudukan dalam kerajaan Persekutuan sekiranya pada masa sama membina kekuatan bersama pihak yang mahu menumbangkan rakan kerajaan sendiri.
“Jangan bebankan Perdana Menteri untuk memecat mereka. Jika UMNO-BN memilih jalan berbeza, mereka sendiri perlu berani mengambil tanggungjawab dan berundur secara bermaruah.
“Jangan tunggu dipecat, kemudian berpura-pura menjadi mangsa politik,” katanya.
Mahfuz berkata, UMNO-BN tidak seharusnya meletakkan Anwar dalam keadaan seolah-olah terpaksa menghalau rakan politik daripada kerajaan, sedangkan parti itu sendiri didakwa sudah mencari haluan politik yang berbeza.
Tegasnya, Kerajaan MADANI bukan medan untuk mana-mana parti mengamalkan politik dua kolam dengan berkongsi kuasa tetapi tidak berkongsi kesetiaan dan tanggungjawab.
“Jika sudah tidak sehaluan, keluarlah dengan bermaruah. Jika sudah memilih jalan lain, beranilah mengaku.
“Jangan bakar rumah dari dalam, kemudian menyalahkan tuan rumah apabila rumah itu terbakar,” katanya.


