
KOTA KINABALU – Belanjawan Sabah dijangka mencecah RM8 bilion sekiranya peruntukan tambahan RM900 juta daripada Kerajaan Persekutuan disalurkan sepenuhnya tahun ini, kata Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata, sektor bekalan air, elektrik dan jaringan jalan raya kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam perancangan pembangunan bagi memastikan keperluan infrastruktur rakyat terus diberi perhatian.
“Peningkatan hasil negeri serta peruntukan tambahan Persekutuan membuka ruang kepada kerajaan negeri merancang perbelanjaan pembangunan yang lebih besar.
“Ini bermakna buat pertama kalinya dalam sejarah Sabah, kita mungkin ada bajet yang hampir menghampiri pendapatan maksimum kita iaitu sekitar RM8 bilion sekiranya RM900 juta itu masuk,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Sambutan Hari Deepavali Peringkat Negeri Sabah, di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut mengenai penyaluran peruntukan tambahan RM900 juta itu, Masidi berkata, kerajaan negeri masih menunggu pembayaran rasmi daripada Kerajaan Persekutuan berikutan proses melengkapkan prasyarat perakaunan dan tatacara pentadbiran.
Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Persekutuan telah memberi jaminan bahawa peruntukan berkenaan akan disalurkan tahun ini.
Mengenai isu infrastruktur negeri ini, beliau berkata, pelaksanaan projek berskala besar memerlukan tempoh antara dua hingga tiga tahun untuk disiapkan dan tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat.
“Kerajaan memahami kesulitan yang dihadapi pengguna air ketika ini dan berharap rakyat bersabar sementara projek penambahbaikan dilaksanakan.
“Pengurusan kewangan dan tadbir urus yang berintegriti turut menjadi keutamaan bagi memastikan perbelanjaan kerajaan disesuaikan dengan kemampuan hasil negeri.
“Setiap ringgit yang dibelanjakan perlu memberikan manfaat maksimum kepada rakyat serta diurus secara berhemah,” ujarnya.


