
KUCHING – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu mempunyai dasar serta perancangan pembangunan yang jelas untuk mendapat kepercayaan rakyat, khususnya ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Premier Sarawak,Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perjuangan politik mesti disandarkan kepada dasar pembangunan yang mampu membawa manfaat kepada masyarakat serta menentukan hala tuju pembangunan negeri.
“Perancangan yang jelas penting bagi memastikan sokongan rakyat terhadap sesebuah parti mempunyai asas yang kukuh,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda PBB di Dewan Kampung Stakan Melayu, pada Ahad.

Abang Johari yang juga Yang di-Pertua PBB berkata, beliau mahu Sarawak menjadi contoh kepada Malaysia bukan sahaja dalam aspek pembangunan, malah dari segi politik, perpaduan masyarakat dan amalan saling menghormati.
“Pendekatan tersebut merupakan antara nilai yang telah lama menjadi pegangan PBB dalam memperjuangkan kepentingan Sarawak,” kata Abang Johari lagi.
Beliau turut menekankan bahawa perubahan barisan kepimpinan tidak seharusnya mengubah matlamat utama perjuangan parti untuk memastikan kemajuan negeri diteruskan.
Sehubungan itu, Abang Johari mengingatkan jentera Pemuda PBB supaya mengekalkan semangat perjuangan dan memahami dasar pembangunan yang dibawa oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, Ketua Pemuda PBB, Datuk Martin Ben berkata, jentera sayap berkenaan telah digerakkan di seluruh Sarawak, merangkumi zon utara, tengah dan selatan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.
“Pemuda PBB turut memberikan perhatian kepada usaha mendekati pengundi muda serta memperkenalkan dasar kerajaan negeri, termasuk pembangunan ekonomi digital, teknologi hijau dan pendidikan tinggi percuma,” ujar beliau.
Beliau berkata, peranan golongan muda bukan sahaja penting dalam menggerakkan aktiviti pilihan raya, malah dalam menyediakan kesinambungan kepimpinan negeri.
Pelancaran jentera itu diadakan menjelang PRN Sarawak ke-13 yang dijadual berlangsung pada 12 Disember, manakala penamaan calon ditetapkan pada 28 November dan pengundian awal pada 8 Disember.


