SOKONGAN berterusan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam UMNO meskipun terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai hala tuju kepemimpinan parti itu.
Tinjauan The Malaysia Press (TMP) di platform Threads mendapati, beberapa pengguna mempersoalkan mengapa Najib masih mendapat tempat dalam perjuangan UMNO, sedangkan parti itu dilihat mempunyai keperluan untuk mengetengahkan pemimpin baharu yang bersih dan berwibawa.
Pengguna Threads, @cendulbasi mempersoalkan sama ada UMNO ketandusan pemimpin berkaliber sehingga masih memperjuangkan bekas presidennya itu, walaupun skandal 1MDB pernah mencetuskan kontroversi besar dan menjejaskan imej negara.

“Dah tak ada pemimpin bersih, berkaliber dalam UMNO kah? UMNO perlukan kaki sakau untuk memimpin?
“Padahal dia tak adalah sehebat Tun M atau berjasa sebanyak Tun M pun, jauh beza tetapi jadi idola UMNO. Apa ilmu dia?” katanya.
Sementara itu, @msazmon berpandangan Najib mempunyai pendekatan populis sejak awal memegang jawatan Perdana Menteri apabila banyak memberikan bantuan kepada rakyat, selain berusaha membina imej seperti bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

“Najib Razak ini populis. Dari awal dia jadi PM banyak dia bagi kepada rakyat. Dia berusaha untuk jadi macam arwah Tun Razak, yang disenangi rakyat biasa.
“Cuma, sebab terlalu ingin kejar nama dan kekayaan, dia buat salah yang besar. Kira sambil dia tabur segala yang ada pada rakyat, sambil itu dia masuk dalam poket dia sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, @zhifez secara sinis mengaitkan sokongan terhadap Najib dengan budaya politik yang mengutamakan pemimpin yang didakwa terbabit dalam salah guna kuasa.

“Parti menyakau perlu ‘the sakau king’ untuk ‘lead’ mereka. Buat apa? ‘Of course’ nak sakau lebih banyak lagi. Pemimpin bersih nak naik pangkat dalam parti pun tak boleh sebab tak sakau,” katanya.
Beliau turut menyindir kemungkinan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, dibawa pulang ke negara ini.
Seorang lagi pengguna, @naimazuan pula berpandangan isu berkenaan bukan semata-mata berkaitan pengaruh Najib, sebaliknya turut mencerminkan sikap sebahagian masyarakat yang kurang peka terhadap isu integriti dan rasuah.

“Dia bukan ilmu bang, tetapi rakyat yang tak ada ilmu itu paling seram. Jiwa hamba dalam Melayu tebal, lagi-lagi politik. Sebab itu rasuah budaya kita,” katanya.
Perbincangan itu turut berlangsung ketika isu pelaksanaan tahanan di rumah bagi Najib kembali menjadi perhatian susulan perkembangan berkaitan Perintah Pengampunan Bersyarat.
Pada 6 November lalu, UMNO memaklumkan pembayaran denda RM50 juta bagi pihak Najib telah diselesaikan, manakala pelaksanaan tahanan di rumah ditangguhkan sementara bagi membolehkan penelitian lanjut dibuat oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Perkembangan itu menyusul selepas isu tahanan di rumah menjadi antara perkara yang diperjuangkan UMNO berhubung baki hukuman penjara yang sedang dijalani Najib.



