
SEOUL – Education Malaysia Global Services (EMGS) terus mempergiat usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi antarabangsa menerusi penyertaan dalam Malaysia Fair in Seoul (MFIS) 2026.
Pengerusi EMGS, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata, penyertaan berkenaan merupakan kesinambungan usaha agensi berkenaan memperluas promosi pendidikan tinggi Malaysia di pasaran Asia Timur selepas turut mengambil bahagian dalam Malaysia Fair di Tokyo.
Katanya, Asia Timur merupakan antara pasaran penting bagi EMGS dalam usaha menarik lebih ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di Malaysia selaras sasaran negara untuk menerima 500,000 pelajar antarabangsa menjelang 2035.
“Sasaran itu merupakan antara tujuh teras dalam Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia yang memberi penekanan kepada usaha memperkukuh pengantarabangsaan sektor pendidikan tinggi negara.
“Melalui penyertaan ini, kita membawa pendidikan tinggi Malaysia ke luar negara untuk memperkenalkan peluang pengajian kepada lebih ramai pelajar antarabangsa, khususnya dari Korea Selatan.
“Kita akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan termasuk perwakilan negara di luar negara dan Tourism Malaysia bagi mempromosikan pendidikan tinggi serta pelancongan pendidikan (Edu Tourism) Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Malaysia Fair in Seoul (MFIS) 2026, di Dongdaemun Design Plaza (DDP), di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Ahmad Shalimin menyatakan, EMGS turut membawa beberapa universiti serta pusat Bahasa Inggeris, termasuk institusi pendidikan awam dan swasta bagi memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai pilihan pengajian yang ditawarkan di Malaysia.
Mengulas sambutan pengunjung, beliau berkata, hari pertama penganjuran menunjukkan perkembangan positif dengan kehadiran ramai pengunjung yang berminat mendapatkan maklumat menerusi ekspo berkenaan.
“Penyertaan EMGS bukan hanya tertumpu kepada jumlah pengunjung sepanjang dua hari penganjuran sebaliknya lebih kepada meningkatkan kesedaran masyarakat Korea Selatan mengenai Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi.
“Malaysia kini turut berada dalam kelompok 14 negara utama dunia dalam sektor pendidikan tinggi,” kongsinya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan EMGS bukan sahaja mempromosikan institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia, malah mengurus kemasukan dan kebajikan pelajar antarabangsa sepanjang tempoh pengajian mereka.
“EMGS merupakan agensi pelaksana di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertanggungjawab melaksanakan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.
“Harapan kita adalah untuk terus bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan sektor swasta dalam mengangkat martabat pendidikan tinggi Malaysia serta menjadikan negara ini hab pendidikan tinggi terbaik di Asia,” katanya.
Sebagai rekod, MFIS 2026 dirasmikan Duta Besar Malaysia ke Republik Korea, Datuk Mohd Zamruni Khalid dan turut dihadiri Presiden Persatuan Kebudayaan Korea, Samuel Chung.


