
PERSAMAAN ideologi politik pada awalnya tidak menjamin hubungan kukuh antara Pas dan Bersatu sebagai parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) apabila kedua-dua parti masih berdepan cabaran dari segi strategi politik serta kepercayaan antara satu sama lain.
Felo Majlis Profesor Negara, Prof Dr Azmi Hassan berkata, faktor kepercayaan menjadi elemen paling penting dalam memastikan sesebuah gabungan politik dapat bertahan dan bergerak secara stabil.
Beliau berkata, walaupun Pas dan Bersatu dilihat mempunyai matlamat politik yang hampir sama, perbezaan pendekatan serta strategi politik menyebabkan hubungan kedua-dua parti sering berdepan ketegangan.
“Dalam sesebuah gabungan politik, sokongan dan kepercayaan antara parti amat penting. Tanpa elemen itu, kerjasama sukar dipertahankan dalam tempoh panjang.
“Pas dan Bersatu mungkin berkongsi ideologi yang hampir sama, namun strategi politik mereka berbeza dan perkara itu menimbulkan konflik,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press (TMP) pada Khamis.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, situasi sama turut berlaku dalam hubungan antara UMNO dengan Pas atau Bersatu apabila isu kepercayaan terus menjadi cabaran utama dalam kerjasama politik.
Menurutnya, beberapa insiden politik sebelum ini, termasuk melibatkan pentadbiran di Perlis, sedikit demi sedikit menghakis keyakinan antara parti dalam gabungan berkenaan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan ada pihak dalam parti mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam menjalinkan kerjasama politik.
“Walaupun berada dalam gabungan dan organisasi yang sama, konflik tetap berlaku kerana setiap parti mempunyai kepentingan serta strategi politik tersendiri.
“Itulah realiti politik apabila kepentingan parti sering mengatasi agenda bersama,” katanya.
Hari ini, media melaporkan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti itu menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Syura Ulama untuk menentukan hala tuju hubungan parti itu dengan Bersatu.
Beliau berkata, setakat ini parti itu masih menunggu laporan lengkap daripada kepimpinan PN sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Jelasnya, Pas akan meneliti semua perkembangan semasa membabitkan hubungan antara parti dalam gabungan itu sebelum membuat sebarang ketetapan rasmi.
Pada Ahad lalu, Pas dilaporkan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu berkaitan PN termasuk kedudukan hubungan parti itu dengan Bersatu.
Mesyuarat yang berlangsung di Kuala Terengganu itu dipengerusikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan turut membabitkan kepimpinan tertinggi parti termasuk Biro Politik serta Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Pas.
Sebelum ini, ketegangan antara Pas dan Bersatu kembali menjadi perhatian selepas Abdul Hadi dilaporkan mahu menilai semula kerjasama dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu susulan beberapa tindakan yang dianggap tidak selari dengan semangat setia kawan dalam PN.
Mengulas perkara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, isu hubungan dan kerjasama dengan Pas akan dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat Biro Politik serta Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu dalam masa terdekat.







