
SANDAKAN – Penduduk di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu diminta bersabar menghadapi gangguan bekalan elektrik yang dijangka berlarutan beberapa hari susulan bencana yang menjejaskan sistem penghantaran elektrik di Sabah.
Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Suhaimi Nasir berkata, Sabah Electricity (SE) sedang berusaha memulihkan bekalan elektrik dengan menggerakkan petugas bekerja selama 24 jam bagi mempercepatkan kerja-kerja pembaikan.
Menurutnya, proses pemulihan berdepan kekangan berikutan beberapa kawasan terjejas terletak di lokasi terpencil dan jauh daripada akses jalan raya, sekali gus menyukarkan penghantaran peralatan serta keperluan pembaikan.
“Jadi saya mengharapkan masyarakat, terutama sekali di Sandakan, bersabar. Insya-Allah, SE sedang berusaha untuk memulihkan semula bekalan elektrik dalam tempoh empat hingga enam hari,” katanya ketika ditemui media pada Program Outreach dan Khidmat Komuniti Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Aisyadelia Cottage, Batu 14, pada Sabtu.
Suhaimi berkata, gangguan bekalan elektrik itu bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian penduduk, malah memberi kesan kepada aktiviti ekonomi di Sandakan.
Katanya, gangguan berkenaan menyebabkan perkhidmatan internet terganggu, operasi perbankan terjejas dan premis perniagaan tidak dapat beroperasi seperti biasa.
“Kesannya, ekonomi kita turut terjejas dalam tempoh beberapa hari ini dan kita berharap keadaan dapat pulih secepat mungkin.
“Kita perlu memberikan sokongan moral kepada petugas SE yang sedang berusaha melakukan kerja-kerja pembaikan,” ujarnya.
Beliau turut berharap keadaan cuaca baik tanpa hujan dalam tempoh satu hingga dua hari akan datang bagi mengelakkan kerja-kerja pemulihan berdepan kekangan tambahan.



