
KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu memperkukuh peranannya sebagai peneraju penyelidikan dan inovasi bagi meneroka potensi ekonomi baharu, termasuk ekonomi biru, tenaga boleh baharu serta keterjaminan makanan demi memacu pembangunan negeri.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, UMS mempunyai keupayaan dan kepimpinan akademik untuk terus menjadi pusat kecemerlangan pendidikan, penyelidikan berimpak tinggi serta pemikiran strategik di peringkat serantau.
“Sejak penubuhannya, UMS berjaya berkembang sebagai institusi pengajian tinggi yang menjadi simbol kecemerlangan akademik dan penyelidikan di utara Borneo, sekali Gus dikenali sebagai The Brain of Borneo.
“Sebagai sebuah institusi ungguli di Borneo, UMS perlu terus memanfaatkan keunikan geopolitik, kepelbagaian biologi yang kaya serta keunikan khazanah buday Borneo bagi melahirkan modal insan berkelas dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah Kali Ke-28 di Dewan Canselor UMS, di sini, pada Sabtu.
Hajiji yang juga Pro-Canselor UMS berkata, kerajaan negeri menerusi hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) terus meletakkan pembangunan modal insan, pendidikan, penguasaan teknologi dan transformasi digital sebagai pemacu utama kemajuan negeri.
“Perkembangan ekonomi biru, ekonomi digital, keusahawanan, kelestarian alam sekitar dan inovasi menuntut graduan supaya sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan dunia yang semakin pantas,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menzahirkan kebanggaan terhadap pengiktirafan Talentbank 6-Star Employer Choice yang diterima UMS dalam bidang Pemasaran, Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan berdasarkan penilaian bebas membabitkan lebih 1,200 majikan terkemuka.
“Pengiktirafan itu membuktikan graduan UMS memiliki kompetensi tinggi dan mendapat keyakinan majikan dalam pasaran pekerjaan,” kongsinya.
Tambahnya, mengulas peranan UMS dalam menangani cabaran global seperti perubahan iklim, keterjaminan makanan dan kemerosotan sumber asli, Hajiji berkata, universiti berkenaan berpotensi menyumbang melalui penyelidikan dan inovasi yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya dalam teknologi hijau dan keterjaminan makanan.
“Kerajaan negeri turut menyokong penyelidikan UMS yang selari dengan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) serta inisiatif Sabah Blue Economy, terutama dalam pembangunan tenaga boleh baharu, akuakultur moden dan sumber marin.
“Kepakaran UMS menerusi Institut Marin Borneo (IMB) berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi biru negeri, manakala kerjasama dengan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) membuka peluang penyelidikan dalam bidang pertanian pintar, varieti padi tahan perubahan iklim, perikanan mampan dan bioteknologi,” katanya.
Hajiji berharap graduan UMS dapat memanfaatkan ilmu, kemahiran dan kepakaran yang diperoleh untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan masyarakat serta pembangunan Sabah yang lebih gemilang.
Terdahulu, majlis turut menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah dan pingat kecemerlangan kepada graduan terpilih oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Dr Musa Aman.
Antaranya, penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Nur Khairunnisa Fadzlee @ Mohd Fadzlee daripada Fakulti Sains dan Teknologi serta Vaisshnevee A/P Kannadasan daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.
Turut menerima pengiktirafan iaitu, Lam Xue Yi (Pingat Emas Canselor); Jusianah Masiun (Pingat Emas Naib Canselor); Hannah Isabella Ruth Jaafar (Pingat Emas Alumni); Nor Farhah Athirah Abu Samah (Hadiah Zainal Abidin Bador); Andi Sallehwangi Mohd Aris (Anugerah Kecemerlangan dan Bakti Siswa HiUMS); serta penerima kategori Hadiah Tun Zaki Tun Azmi iaitu Lorita Gibin, Khalil Arahmane Chekima, Rima Abdul Rahman.



