Ideologi sama tidak jamin kerjasama Pas-Bersatu berpanjangan 

PERSAMAAN ideologi politik pada awalnya tidak menjamin hubungan kukuh antara Pas dan Bersatu sebagai parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) apabila kedua-dua parti masih berdepan cabaran dari segi strategi politik serta kepercayaan antara satu sama lain.

Felo Majlis Profesor Negara, Prof Dr Azmi Hassan berkata, faktor kepercayaan menjadi elemen paling penting dalam memastikan sesebuah gabungan politik dapat bertahan dan bergerak secara stabil.

Beliau berkata, walaupun Pas dan Bersatu dilihat mempunyai matlamat politik yang hampir sama, perbezaan pendekatan serta strategi politik menyebabkan hubungan kedua-dua parti sering berdepan ketegangan.

“Dalam sesebuah gabungan politik, sokongan dan kepercayaan antara parti amat penting. Tanpa elemen itu, kerjasama sukar dipertahankan dalam tempoh panjang.

“Pas dan Bersatu mungkin berkongsi ideologi yang hampir sama, namun strategi politik mereka berbeza dan perkara itu menimbulkan konflik,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press (TMP) pada Khamis. 

Mengulas lanjut, Azmi berkata, situasi sama turut berlaku dalam hubungan antara UMNO dengan Pas atau Bersatu apabila isu kepercayaan terus menjadi cabaran utama dalam kerjasama politik.

Menurutnya, beberapa insiden politik sebelum ini, termasuk melibatkan pentadbiran di Perlis, sedikit demi sedikit menghakis keyakinan antara parti dalam gabungan berkenaan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ada pihak dalam parti mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam menjalinkan kerjasama politik.

“Walaupun berada dalam gabungan dan organisasi yang sama, konflik tetap berlaku kerana setiap parti mempunyai kepentingan serta strategi politik tersendiri.

“Itulah realiti politik apabila kepentingan parti sering mengatasi agenda bersama,” katanya.

Hari ini, media melaporkan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti itu menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Syura Ulama untuk menentukan hala tuju hubungan parti itu dengan Bersatu. 

Beliau berkata, setakat ini parti itu masih menunggu laporan lengkap daripada kepimpinan PN sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Jelasnya, Pas akan meneliti semua perkembangan semasa membabitkan hubungan antara parti dalam gabungan itu sebelum membuat sebarang ketetapan rasmi.

Pada Ahad lalu, Pas dilaporkan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu berkaitan PN termasuk kedudukan hubungan parti itu dengan Bersatu. 

Mesyuarat yang berlangsung di Kuala Terengganu itu dipengerusikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan turut membabitkan kepimpinan tertinggi parti termasuk Biro Politik serta Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Pas. 

Sebelum ini, ketegangan antara Pas dan Bersatu kembali menjadi perhatian selepas Abdul Hadi dilaporkan mahu menilai semula kerjasama dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu susulan beberapa tindakan yang dianggap tidak selari dengan semangat setia kawan dalam PN.

Mengulas perkara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, isu hubungan dan kerjasama dengan Pas akan dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat Biro Politik serta Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu dalam masa terdekat.

Related Posts

AMK bidas Fadhli Shaari, sindiran program korban PM dianggap tidak matang

IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) membidas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari yang menyindir program korban dan bantuan asnaf dianjurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Aidiladha,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PKR susun semula jentera pilihan raya, Amirudin dan Saifuddin diberi peranan utama

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) melakukan penyusunan semula jentera pilihan rayanya apabila melantik Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerajui pengurusan pilihan raya parti…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kerbau korban mengamuk: Seorang maut, seorang cedera dalam dua kejadian berasingan

Kerbau korban mengamuk: Seorang maut, seorang cedera dalam dua kejadian berasingan

MoT ambil tindakan tegas terhadap Prasarana susulan insiden LRT tergelincir

MoT ambil tindakan tegas terhadap Prasarana susulan insiden LRT tergelincir

MoT tubuhkan pasukan khas siasat insiden LRT tergelincir

MoT tubuhkan pasukan khas siasat insiden LRT tergelincir

PIBG, sekolah perlu seiring pacu kecemerlangan pelajar

PIBG, sekolah perlu seiring pacu kecemerlangan pelajar

Ibadah korban perkukuh silaturahim agensi, komuniti Parlimen Mukah

Ibadah korban perkukuh silaturahim agensi, komuniti Parlimen Mukah

Capaian talian hampir 10,000 penduduk terjejas, pengoperasian menara telekomunikasi perlu diteliti

Capaian talian hampir 10,000 penduduk terjejas, pengoperasian menara telekomunikasi perlu diteliti