
TENOM – Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas keputusan mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak serta berharap masyarakat di Semenanjung dapat memahami keperluan berbeza di sini.
Jamawi berkata, langkah tersebut amat signifikan memandangkan keperluan penggunaan kenderaan diesel yang tinggi dalam kalangan rakyat di negeri ini.
“Kita mengucapkan terima kasih atas kebijaksanaan Perdana Menteri mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak.
“Kita memahami kebanyakan rakyat Sabah menggunakan kenderaan diesel, khususnya kenderaan pacuan empat roda, disebabkan faktor geografi, jarak antara pekan yang jauh serta keadaan jalan raya yang belum setara dengan di Semenanjung.
“Jadi, kita gunakan lah ia sebaiknya, jika ada lebihan, berjimatlah kerana ia penting untuk masa depan dan jangan membazir,” katanya ketika ditemui media pada sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dihoskan oleh beliau yang juga ADUN Melalap bersama isterinya di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Jamawi berkata kenaikan harga baja ketika ini turut memberi kesan kepada golongan petani, susulan faktor global termasuk sekatan eksport oleh negara pengeluar.
“Kebanyakan baja dihasilkan daripada petroleum dan kita juga berdepan isu pemberhentian eksport dari China, yang sedikit sebanyak menjejaskan bekalan tempatan,
”Saya menyeru krpada petani supaya beralih kepada penggunaan baja kompos sebagai alternatif lebih mampan dan penggunaan baja kompos bukan sahaja dapat mengurangkan kos, malah membantu meningkatkan kesuburan tanah secara semula jadi.
”Pihak kami juga sedang berunding dengan pihak berkaitan bagi memastikan bekalan baja mencukupi dan dapat diagihkan secara teratur.
”Sekali lagi saya menyeru kepada petani, nelayan dan penternak yang terjejas agar sentiasa berhubung dengan pegawai pertanian, veterinar dan perikanan di kawasan masing-masing bagi mendapatkan bantuan serta khidmat nasihat.
“Kita juga mempunyai pegawai di lapangan yang sentiasa bersedia membantu menyelesaikan isu yang dihadapi petani dan pengusaha,” katanya.
Jamawi turut memaklumkan pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya petani, perikanan serta penternak kecil juga dapat didaftarkan dan turut menikmati subsidi bahan api bagi kegunaan sektor pertanian, perikanan dan penternakan.
Dalam pada itu, sebaga Menteri yang bertanggungjawab terhadap sektor pertanian dan perikanan, beliau turut mengingatkan pengusaha agar lebih berwaspada, dan tidak membuat pembayaran terbuka terutama dalam musim panas ketika ini.
Sementara itu, kira-kira 8,000 penduduk dari Tenom, Kemabong dan Melalap memeriahkan majlis rumah terbuka itu yang berlangsung dalam suasana penuh muhibah, sekali gus mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang; Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; Pembantu Menteri I Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga ADUN Lumadan, Datuk Haji Ruslan Muharam; Pembantu Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi & Inovasi merangkap ADUN Tulid, Jordan Jude Ellron; Ketua Daerah DUN Melalap, OKK Tusip Tulas; Pengurus-Pengurus Besar Jabatan dan Agensi MAFFI serta para pemimpin setempat.




