
KOTA KINABALU – Gangguan bekalan elektrik dilaporkan berlaku di tujuh daerah di Sabah hari ini, membabitkan Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Beluran dan Telupid.
Sabah Electricity menerusi kenyataan di Sabah Electricity Careline memaklumkan gangguan itu membabitkan keseluruhan kawasan di daerah berkenaan, termasuk kawasan sekitar Lahad Datu.
Menurut kenyataan itu, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca gangguan sebelum kerja pemulihan bekalan elektrik dilaksanakan secara berperingkat.
“Sabah Electricity amat menghargai kesabaran anda dan segala kesulitan amat dikesali,” menurut kenyataan Sabah Electricity, pada Khamis.
Notis gangguan berkenaan dikeluarkan pada 26 November, namun tiada tempoh masa khusus dimaklumkan berhubung jangkaan bekalan elektrik pulih sepenuhnya.
Sehubungan itu, Sabah Electricity memohon kerjasama dan kesabaran pengguna sepanjang proses pemulihan bekalan elektrik dilaksanakan.

