
KUCHING – Proses penyerahan kertas penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 akan berlangsung di 82 pusat penamaan calon bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi pada Sabtu ini (28 November 2026).
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, kertas penamaan calon boleh diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya oleh calon bersama pencadang dan penyokong, atau mana-mana dua mahupun salah seorang daripada mereka.
“SPR menyarankan bakal calon supaya mengisi borang penamaan calon dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon.
“Bakal calon juga digalakkan membuat pembayaran deposit lebih awal dan membawa resit pembayaran sebagai bukti ketika menyerahkan kertas penamaan calon,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, calon yang mewakili parti politik turut diwajibkan mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti masing-masing semasa menyerahkan kertas penamaan calon.
Dalam pada itu, SPR mengingatkan semua calon supaya mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) serta undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), khususnya berkaitan peraturan bahan kempen pilihan raya.
Antara larangan yang perlu diberi perhatian ialah penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui kenderaan, serta perbuatan menunggu atau berada dalam lingkungan 50 meter dari sempadan yang ditetapkan pada hari penamaan calon.
SPR turut menyeru semua bakal calon dan parti politik supaya mematuhi setiap undang-undang, peraturan, tataetika serta arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PBT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses penamaan calon PRU DUN Sarawak ke-13 berlangsung dengan teratur, lancar dan mengikut ketetapan undang-undang.



