
KANOWIT- Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.49 Ngemah, Anyi anak Jana mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) serta melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi PRS Bahagian N.49 Ngemah.
Menerusi satu kenyataan media pada Khamis, Anyi berkata, keputusan itu diambil kerana beliau telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri John Sikie Tayai sebagai Presiden PRS.
Beliau memaklumkan namanya telah digugurkan sebagai calon di kerusi DUN N.49 Ngemah bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 tanpa sebarang makluman awal daripada pucuk pimpinan parti.
“Saya digugurkan daripada calon di DUN N.49 Ngemah pada PRN 13 tanpa ada inisiatif daripada kepimpinan PRS untuk memaklumkan atau memanggil saya berjumpa dengan kepimpinan PRS,” ujar beliau lagi.
Anyi turut mendakwa amalan demokrasi tidak wujud dalam PRS apabila penyertaannya bertanding jawatan Majlis Tertinggi (MT) semasa TDC PRS dianggap sebagai tindakan melawan kepimpinan Presiden parti.
Selain itu, beliau mendakwa terdapat beberapa video ucapan terbuka seorang pemimpin kanan PRS yang menyatakan beliau digugurkan sebagai calon kerana tidak menghormati Presiden PRS pada TDC PRS 2025.
Menurut beliau, pihak KMKK, rakyat serta pengerusi turut tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan parti berkenaan.
“Dengan ini kami mengumumkan akan keluar dan berhenti sebagai ahli PRS dan sebagai Pengerusi PRS Bahagian N.49 Ngemah,” katanya.
Biarpun mengambil keputusan meninggalkan PRS, Anyi menegaskan beliau masih menyokong kepimpinan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).



