YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Khatam Sama‘ Hadis Jami‘ Al-Tirmidhi dan Al-Syamail Al Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra, Putrajaya. 24 November 2026.
KUALA LUMPUR – Malaysia dan Mesir komited memperkukuh hubungan dua hala menerusi kerjasama lebih erat, khususnya dalam bidang pendidikan dan pembangunan ummah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dizahirkan dalam pertemuan bersama Menteri Wakaf Mesir, Sheikh Dr Usama al-Sayyid al-Azhari, yang mengadakan kunjungan hormat di Putrajaya, semalam.
Beliau berkata, pertemuan berkenaan mencerminkan hubungan erat kedua-dua negara yang sekian lama terjalin berteraskan tradisi keilmuan, ukhuwah dan sikap saling menghormati.
“Pertemuan ini turut memberi ruang untuk bertukar pandangan mengenai hal ehwal Islam dan pendidikan anak-anak Malaysia di Mesir.
“Kerajaan Malaysia sentiasa memberikan perhatian terhadap perjalanan ilmu mereka, dengan harapan mereka kembali menyumbang kepakaran dan ilmu kepada masyarakat serta tanah air kelak.
“Semoga persahabatan Malaysia-Mesir terus mekar dan menjadi jambatan ilmu serta kerjasama yang membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya menerusi Facebook, semalam.
Anwar berkata, Usama turut menyampaikan salam persahabatan dan penghargaan daripada Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, atas sambutan mesra diberikan sempena lawatannya ke Malaysia pada 9 Oktober lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Usama dan Mufti Besar India, Syeikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari, atas usaha berterusan mereka mengingatkan umat Islam mengenai kepentingan memelihara ilmu, menghidupkan tradisi pengajian hadis serta menjadikan adab dan akhlak sebagai sebahagian daripada kehidupan.
Kedua-dua tokoh agama itu menghadiri Majlis Khatam Sama’ Hadis Jami’ Al-Tirmidhi dan Al-Syama’il Al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra, Putrajaya, malam tadi.
Beliau berkata, penganjuran majlis yang berlangsung sejak 13 November lalu itu adalah kesinambungan usaha Kerajaan MADANI sejak 2024, bermula dengan pengajian Sahih al-Bukhari, diikuti Sahih Muslim pada 2025, sebelum Jami’ Al-Tirmidhi dan Al-Syama’il Al-Muhammadiyyah pada tahun ini.
Katanya, usaha berkenaan bertujuan mendekatkan masyarakat kepada warisan Rasulullah SAW menerusi bimbingan ulama.
“Ilmu tidak seharusnya terhenti pada bacaan dan pendengaran semata-mata. Ia perlu difahami, dihayati dan diterjemahkan dalam amalan, termasuk dalam cara kita memimpin, melaksanakan tanggungjawab dan berhubung sesama insan.
“Mudah-mudahan tradisi ilmu ini terus subur di tanah air, membentuk masyarakat yang beradab, memperkukuh nilai amanah dan keadilan serta menjadi asas kepada kesejahteraan negara,” katanya.

