KUALA LUMPUR – Hubungan persahabatan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said terus terjalin meskipun Anwar berada di sebalik tirai besi apabila Allahyarham sering mengutus surat dan mengirim karya sastera sepanjang tempoh pemenjaraannya di Sungai Buloh.
Anwar berkata, hubungan yang terjalin sejak 1998 itu memperlihatkan keprihatinan Allahyarham yang sentiasa mengambil berat dengan berkongsi pemikiran serta hasil karya menerusi surat yang dikirimkan.
Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Pak Samad sebagai satu kehilangan besar buat negara, khususnya dalam bidang seni, sastera dan pendidikan bangsa.
“Dia seorang yang gigih, pencinta seni dan sastera serta juga pendidik bangsa. Negara tentunya kehilangan seorang tokoh besar Sasterawan Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Anwar berkata, sumbangan Allahyarham dalam dunia kesusasteraan mula mendapat perhatian sejak 1955, sekali gus meletakkan beliau sebagai antara tokoh penting dalam perkembangan sastera tanah air.
Katanya, ketekunan Allahyarham mempertahankan bahasa dan sastera sebagai asas pembinaan tamadun bangsa perlu dicontohi generasi muda.
“Allahyarham berpegang kepada prinsip bahawa sastera bukan bidang khusus yang hanya perlu dikuasai kelompok tertentu, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada kekuatan sesebuah bangsa.
“Dia gigih mempertahankan kecintaannya terhadap bahasa, sastera dan menganggap bahawa sastera itu mesti dikuasai, tidak seperti setengah anggapan bahawa sastera itu satu bidang yang khusus.
“Kehidupan bangsa dan pembinaan tamadun itu harus bersandarkan juga kepada kekuatan sastera,” katanya.
Mengimbas keperibadian Allahyarham, Anwar berkata, beliau amat mengagumi kesungguhan tokoh itu membaca dan mendalami ilmu, berdasarkan koleksi buku serta catatan yang ditinggalkan di kediamannya.
Katanya, setiap buku yang dibaca Allahyarham mempunyai catatan tersendiri, sekali gus mencerminkan ketekunan beliau meneliti dan memahami pelbagai bidang ilmu.
“Keupayaan serta penguasaan ilmu Allahyarham, khususnya dalam bidang sastera bukan sesuatu yang mudah untuk digantikan, justeru usaha mengangkat martabat tokoh sasterawan negara perlu terus diberi perhatian,” katanya.
Anwar turut menyampaikan ucapan takziah kepada isteri dan seluruh keluarga Allahyarham serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada jam 6.10 petang semalam akibat sakit tua dan diabetes.

