
BETONG – Usaha menangani penyalahgunaan dadah dan ancaman jenayah siber di Betong memerlukan penglibatan menyeluruh institusi keluarga serta komuniti, bukan semata-mata bergantung kepada tindakan penguatkuasaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, keperluan itu semakin mendesak susulan sebanyak 376 kes penyalahgunaan dadah dan substans direkodkan di Bahagian Betong sehingga Oktober 2026.
Selain itu, Daerah Betong turut mencatatkan 32 kes jenayah siber bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026 melibatkan jumlah kerugian RM220,851.02, dengan penipuan e-dagang tertinggi sebanyak 14 kes diikuti penipuan pinjaman tidak wujud (12 kes).
“Permasalahan ini bukan sahaja melibatkan aspek penguatkuasaan undang-undang, malah turut memberikan kesan terhadap kesihatan, hubungan kekeluargaan, keselamatan komuniti serta masa depan generasi muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Kesedaran dan Pencegahan Penyalahgunaan Dadah, Substans dan Jenayah Siber di Dewan Millennia, Debak pada Selasa.

Beliau menegaskan institusi keluarga perlu berperanan sebagai benteng pertahanan sosial menerusi hubungan kekeluargaan yang erat, komunikasi baik serta nilai kasih sayang dan tanggungjawab.
Sehubungan itu, ibu bapa digesa sentiasa peka terhadap penggunaan teknologi digital oleh anak-anak, manakala masyarakat disaran menyalurkan maklumat mengenai kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa.
“Keberkesanan sesuatu program tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah kehadiran atau bilangan aktiviti yang dilaksanakan semata-mata, sebaliknya sejauh mana pengetahuan yang diperoleh dapat diterjemahkan kepada perubahan sikap dan tindakan pencegahan,” katanya.
Beliau turut berharap kerjasama antara Jawatankuasa One Stop Committee bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (OSC MIDS), agensi berkaitan, pemimpin masyarakat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terus diperkukuh bagi memastikan isu sosial dapat dikenal pasti lebih awal.
Mengulas situasi di peringkat Sarawak bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, beliau memaklumkan sebanyak 12,323 tangkapan berkaitan kesalahan dadah direkodkan, merangkumi 9,545 tangkapan kategori penagih, 2,219 kesalahan memiliki dadah dan 559 tangkapan berkaitan bekalan dadah.
“Pada peringkat Sarawak pula, sebanyak 2,688 kes jenayah siber direkodkan dengan jumlah kerugian mencecah RM88.89 juta bagi tempoh yang sama,” katanya.
Beliau menjelaskan, walaupun perkembangan teknologi digital membawa pelbagai manfaat, penggunaannya tanpa pengetahuan dan kawalan sewajarnya boleh mendedahkan masyarakat kepada penipuan kewangan serta penyalahgunaan maklumat peribadi.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terjebak dengan kegiatan judi dalam talian yang boleh mengakibatkan masalah hutang, ketagihan tingkah laku serta kehilangan sumber kewangan keluarga.
Pada masa sama, masyarakat turut diseru mengurangkan stigma terhadap individu yang berdepan masalah ketagihan dan sedang menjalani proses pemulihan dengan memberikan bimbingan, sokongan serta peluang kedua untuk kembali menjalani kehidupan lebih baik dan produktif.



