
PUTRAJAYA – Kerajaan Negeri Melaka perlu bertanggungjawab memberikan penjelasan berhubung setiap keputusan membabitkan penggunaan wang rakyat, termasuk memperincikan kos dan manfaat pelantikan 12 Timbalan Exco.
Ketua Penerangan PKR Melaka, Eddiarman Mohd Yunos berkata, kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh bahawa pelantikan tersebut bukan perkara baharu kerana sudah dilaksanakan sejak penggal terdahulu tidak menjawab persoalan mengenai keperluan dan keberkesanan dalam struktur pentadbiran kerajaan negeri.
Menurut beliau, tindakan Rauf yang dilihat cuba mempertahankan lantikan terbabit mempamerkan kelemahan cara pentadbiran Barisan Nasional (BN) menjelaskan keputusan yang melibatkan wang rakyat.
“Apabila timbul persoalan tentang keperluan dan kos sesuatu pelantikan, kerajaan sepatutnya membentangkan penjelasan. Bukannya menyuruh orang yang bertanya pulang membuat kajian. Kerajaan yang melantik. Kerajaan yang memegang maklumat. Rakyat pula disuruh buat kerja rumah untuk kajian?
“Menyebut jawatan itu sudah diwujudkan sejak penggal lalu juga tidak menjawab persoalan pokok. Amalan lama tetap perlu dinilai semula. Kalau setiap keputusan boleh dipertahankan dengan alasan dulu pun ada, sampai bila pentadbiran negeri dapat mengukur keberkesanan dan memperbaiki cara bekerja,” katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Eddiarman berkata, alasan bahawa pelantikan berkenaan tidak membabitkan perbelanjaan besar juga perlu disokong dengan angka jelas bagi membolehkan rakyat menilai implikasi kewangannya.
Beliau berpandangan, kerajaan negeri perlu mendedahkan jumlah elaun, kemudahan dan kos sokongan yang diperuntukkan, selain pertambahan perbelanjaan berbanding struktur pentadbiran sebelumnya.
“Tidak besar, itu penilaian Ketua Menteri. Akan tetapi yang dibelanjakan itu tetap wang rakyat. Saya tidak membuat kesimpulan bahawa setiap pelantikan Timbalan Exco merupakan pembaziran.
“Namun, kerajaan perlu membuktikan keperluannya melalui pembahagian tugas yang jelas, sasaran prestasi dan hasil yang boleh dinilai. Tanpa penjelasan itu, kebimbangan bahawa pentadbiran BN membesarkan struktur tanpa manfaat yang setimpal memang berasas untuk dibangkitkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri menerbitkan pecahan kos pelantikan berkenaan, menjelaskan sempadan tugas antara Exco dengan Timbalan Exco serta mengumumkan sasaran prestasi untuk dinilai rakyat.
Tambahnya, jika kerajaan yakin struktur itu mampu meningkatkan kecekapan pentadbiran, penjelasan mengenai kos, perancangan dan hasil yang disasarkan sewajarnya dibentangkan secara terbuka.
“Rakyat tidak sepatutnya diminta menerima keputusan dahulu, kemudian mencari sendiri alasan untuk meyakinkan diri bahawa keputusan itu berbaloi. Kalau jawatan bertambah tetapi rakyat masih perlu berulang kali mengejar jawapan, maka lapisan pentadbiran yang dicipta ini nampaknya mungkin hanya satu pembaziran.
“Inilah perbezaan antara mempertahankan keputusan politik dengan mempertanggungjawabkan keputusan pentadbiran. Kerajaan tidak boleh sekadar yakin dengan susunannya sendiri; kerajaan mesti meyakinkan rakyat yang membiayainya.
“Melaka memerlukan pentadbiran yang cekap dan berhemat. Keborosan mesti dicegah sebelum menjadi kebiasaan, bukan dipertahankan kemudian dengan alasan penggal dulu pun buat. Rakyat bertanya kerana mereka berhak tahu. Ketua Menteri pula wajib menjawab kerana beliau perlu bertanggungjawab, ” katanya.
Terdahulu, Ab Rauf berkata, pelantikan Timbalan Exco dalam pentadbiran kerajaan Melaka bukan perkara baharu, sebaliknya amalan yang telah dilaksanakan sejak penggal terdahulu bagi memperkukuh keberkesanan pentadbiran negeri.
Beliau menegaskan, pihak yang mempertikaikan pelantikan itu sepatutnya membuat kajian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

