
KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan tiada lesen baharu bagi aktiviti perjudian dikeluarkan sejak 1990-an, dengan kementerian itu hanya mengawal selia operasi perjudian berlesen sedia ada.
Dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman web Parlimen, MoF berkata, sebarang cadangan untuk mengubah dasar berkaitan perjudian perlu mengambil kira beberapa aspek, termasuk asas perundangan, keberkesanan pelaksanaan dan penguatkuasaan serta risiko peningkatan aktiviti perjudian tidak berlesen.
Menurut kementerian itu, kesejahteraan masyarakat majmuk di negara ini juga perlu menjadi pertimbangan dalam sebarang keputusan berkaitan dasar berkenaan.
Katanya, penambahan sekatan terhadap pemberian lesen kepada sesuatu sektor perniagaan tidak semestinya dapat menghapuskan aktiviti berkenaan sekiranya permintaan masih wujud, terutama melalui saluran tidak berlesen.
“Sehubungan itu, pendekatan yang menyeluruh, merangkumi penguatkuasaan terhadap aktiviti tidak berlesen, usaha semua pihak dalam meningkatkan kesedaran serta tanggungjawab masyarakat adalah juga penting dan bukan sekadar dari sudut pentadbiran pelesenan,” menurut MoF.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan pertimbangan untuk menyemak semula pemberian lesen di bawah Akta Pertaruhan Wang Terkumpul 1967, khususnya di negeri yang melaksanakan dasar sifar judi.

