
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Sasterawan Negara keempat, Datuk Seri A Samad Said sebagai kehilangan besar kepada dunia kesusasteraan tanah air.
Beliau berkata, legasi Allahyarham yang mesra disapa Pak Samad akan terus hidup menerusi karya agung serta keteguhannya membela Bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan.
“Innalillahi wainnailaihi rojiun. Saya menerima khabar pemergian Sasterawan Negara, A Samad Said dengan rasa hiba dan sayu.
“Lewat ‘Salina’ (1961), Pak Samad mendekatkan kita kepada insan yang sering tersisih supaya kita turut menggarap duka dan memperjuang harapan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Anwar berkata, karya Allahyarham bukan sekadar merakam kehidupan masyarakat, malah membawa pembaca mendekati nasib golongan yang sering terpinggir.
Beliau turut memaklumkan bahawa beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta keluarga yang ditinggalkan diberikan ketabahan.
“Azizah dan saya mendoakan semoga Allah SWT melimpahkan rahmat ke atas roh Pak Samad dan mengurniakan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan.
“Mendoakan segala dosanya dikurniakan keampunan dan rohnya diberi tempat istimewa di sisi-Nya,” katanya.
Terdahulu, A Samad Said, 91, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 6.05 petang tadi.
Berita pemergian Allahyarham disahkan anak keduanya, Helmy Abdul Samad menerusi perkongsian di platform Threads.
Allahyarham sebelum ini dimasukkan ke HKL petang semalam untuk mendapatkan rawatan akibat sakit tua, selain menghidap diabetes dan jangkitan paru-paru.
Dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka pada 9 April 1935, Allahyarham dinobatkan sebagai Sasterawan Negara keempat pada 1985 atas sumbangan besarnya terhadap perkembangan kesusasteraan tanah air.
