Viktor Gyokeres
MIKEL Arteta mempertahankan Viktor Gyokeres selepas penyerang Arsenal itu menjaringkan gol menakjubkan sebelum mensia-siakan peluang penting ketika seri 1-1 dengan Borussia Dortmund dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Arteta memilih penyerang Sweden itu berbanding Kai Havertz dan Gyokeres menyahut cabaran dengan meledak gol pertamanya di laman sendiri musim ini, selain jaringan ketiganya bersama The Gunners dalam semua pertandingan.
Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun itu sekali lagi dikritik susulan prestasi tidak konsisten sejak menyertai Arsenal dari Sporting Lisbon pada 2025, selepas tandukan lemah pada penghujung perlawanan gagal memastikan kemenangan.
“Dia beraksi cemerlang hari ini. Dia menjaringkan gol yang luar biasa dan dia mempunyai kualiti untuk melakukannya.
“Apa yang paling saya suka ialah bagaimana dia berhubung dengan pasukan. Banyak perkara positif daripada persembahan itu,” kata Arteta.
Arsenal kekal tanpa kalah dalam 11 perlawanan terakhir semua kejohanan, namun gagal meraih kemenangan di laman sendiri buat kali pertama musim ini.
Arteta bagaimanapun berpendapat Arsenal layak memperoleh tiga mata berdasarkan penguasaan dan peluang yang dicipta, meskipun mengakui penyudah pasukannya perlu diperbaiki.
“Kami perlu lebih baik dalam penyudah dan mungkin sedikit tergesa-gesa. Kami sepatutnya menyempurnakan beberapa gerakan dengan lebih baik,” katanya.
Arsenal kini berada di tangga kelima fasa liga dengan tiga kemenangan dan dua seri daripada lima perlawanan, manakala Dortmund di tangga ketujuh, ketinggalan satu mata.
Sementara itu, pengendali Dortmund, Niko Kovac menyifatkan keputusan seri itu sebagai satu pencapaian besar, terutama selepas pasukannya memperkemaskan permainan pada babak kedua dengan lebih berani dan agresif.
“Kami tidak bermain seperti yang saya harapkan dalam 15 minit pertama dan terlalu pasif. Selepas rehat, kami lebih berani dan melakukan tekanan dengan lebih aktif,” katanya.


