
ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Johor membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pemberian tanah awam di Kampung Baru Pandan kepada seorang ahli politik yang juga anggota Pemuda UMNO dan Ahli Majlis.
Timbalan Ketua AMK Johor, Jalex Lee berkata, tanah berkenaan pada asalnya diwartakan sebagai tapak pasar untuk kegunaan penduduk Kampung Baru Pandan, sebelum dikurniakan kepada pemilik individu pada 4 Ogos 2026.
“Isu ini mula mendapat perhatian apabila Notis Pengosongan Tanah dikeluarkan terhadap KRT Pandan pada Oktober 2026.
“Tindakan ini menimbulkan persoalan serius berhubung kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh Kerajaan Negeri Johor pimpinan Barisan Nasional (BN), khususnya apabila tanah awam yang sepatutnya dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat diberikan rakan politik.
“Keadaan ini seolah-olah mengimbau kembali era penyalahgunaan kuasa ketika BN memiliki majoriti politik yang besar,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Ahad.
Menurutnya, tanah awam seharusnya dipelihara dan dimanfaatkan demi kepentingan rakyat, bukannya dijadikan kepentingan individu atau kelompok tertentu.
“Saya berharap SPRM dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus agar segala fakta dan keadilan dapat ditegakkan,” katanya.


